Susulan penggunaan dialog kasar dan tidak bersesuaian dalam siri drama Kudeta, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memohon maaf khususnya kepada golongan wanita.

Maszlee, yang melakonkan watak bekas perdana menteri yang dipenjarakan dalam siri berkenaan, mengakui kesal dengan penggunaan ayat yang tidak sepatutnya diucapkan.

Kata Maszlee, beliau sedar impak karya seni seperti filem dan drama dalam menyampaikan sesuatu mesej, namun tidaklah sehingga menyinggung atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak perdana menteri jahat di penjara yang telah menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya, yang telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua.

"Saya juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan, nasihat samada secara peribadi mahupun umum," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Dalam drama tersebut, Maszlee yang memegang watak Jamal Banna mengungkapkan dialog yang berbaur penghinaan kepada kaum wanita.

Dialog tersebut sekali gus menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak memandangkan latar belakang Maszlee sebagai bekas menteri yang memegang portfolio pendidikan.

Justeru, Maszlee berharap pihak penerbit dapat menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak.

Sementara itu, Maszlee turut mengajak orang ramai untuk menonton siri Kudeta yang juga merupakan drama Melayu pertama berunsur politik, thiller dan aksi.

"Banyak yang boleh dipelajari selain babak lima saat yang kontroversi tersebut," ujarnya lagi.

Sumber - AWANI

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.