Pelakon Sharifah Sakinah mengesahkan sudah mengikat tali pertunangan dengan jejaka kelahiran Sweden, Michael Hansen.

Kongsi Sakinah, 32, tiada sebarang majlis rasmi diadakan untuk mengikat tali pertunangan itu sebaliknya hanya dilangsungkan dengan cara menyerahkan cincin.

"Alhamdulillah saya dan Michael bertunang pada Disember tahun lepas. Caranya sangat ringkas, tiada majlis pun sekadar beli cincin dan berbincang antara keluarga.

"Bagi mereka kalau sudah melamar itu dikira bertunanglah. Mereka serius dan particular mengenai cara ini, apabila sudah pakai cincin itu dah tak boleh nak main-main lagi," katanya kepada Gempak.

Tambah Sakinah, mereka memilih tarikh 28 Mei untuk melangsungkan perkahwinan namun terpaksa menunggu perkembangan semasa situasi terkini COVID-19.

"Sepatutnya tarikh kahwin 28 Mei tetapi kalau Michael nak datang dengan keluarga mereka perlu isikan banyak dokumen, kalau dia seorang sahaja yang lepas tanpa keluarga dan anak-anak, mesti rasa janggal.

"Semuanya bergantung pada keadaan COVID-19, sama ada sempadan negara dibuka atau tidak. Saya nak ke sana pun tak boleh, jadinya sekarang kami hanya long distance relationship.

"Urusan berkahwin ini melibatkan keluarga, sekarang dia tengah menunggu summer break dan cuba bawa keluarganya ke sini (Malaysia).

"Andai kata sempadan negara sana (Sweden) buka maka saya ke sana untuk urusan berkahwin," tambahnya.

Bagaimanapun, Sakinah akui seandainya berkahwin di negara luar dia sendiri bakal berdepan kesukaran untuk mencari jurunikah di tempat asing seperti Sweden.

Sakinah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Aliff Adha pada 2015 namun bercerai pada Mei 2020.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Anais Adha, 4 tahun.

Sama seperti Michael, jejaka berusia 42 tahun itu pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata.