Pengarah dan penerbit, Adrian Teh menggunakan pendekatan berbeza untuk filem Malbatt Misi: Bakara apabila tidak memaparkan wajah pelakon-pelakonnya dalam poster rasmi.

Kata Adrian tujuan utamanya bukan hendak menjual nama-nama pelakonnya yang antaranya terdiri daripada Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen dan Adlin Aman Ramli tetapi mengangkat naskah hebat daripada kisah sebenar itu.

“Saya nak minta maaf kepada semua pelakon kerana saya tidak letak wajah mereka di poster kerana saya rasa baik saya fokus pada tujuan utama saya iaitu untuk mengetengahkan naskah ini.

“Filem ini bukan kisah mengenai pelakon atau individu tetapi cerita mengenai seluruh batalion…Tak mampu semua tapi saya ketengahkan 17 orang penting dalam kisah ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Adrian yang juga pengarah filem PASKAL The Movie dan Wira itu ditemui ketika pelancaran poster dan treler filem Malbatt Misi: Bakara yang diadakan di GSC Mid Valley, pada Selasa.

Adrian bagaimana pun bersyukur kerana pelakon-pelakonnya memahami keputusannya itu.

“Pelakon sangat memahami dengan apa yang saya lakukan ini dan mereka tahu direction saya kali ini iaitu bukan hendak menjual nama pelakon.

“Saya bangga kerana saya ada barisan aktor yang hebat dan tiada menimbulkan sebarang masalah sepanjang bekerjasama dengan mereka,” ulasnya lagi.

Antara pelakon lain adalah Dini Schatzman, Iedil Putra, Dafi Ismail Sabri, Syazwan Zulkifli, Fauzi Nawi, Taufik Hanafi, Nafiez Zaidi dan Safwan Nazri.

Di majlis pelancaran itu juga, turut diperkenalkan dua jenis poster yang masing-masing tidak memaparkan wajah pelakonnya selain aksi di dalam filem berkenaan.

Dua poster itu terdiri daripada posert untuk promosi tempatan dan juga antarabangsa yang dijangka akan ditayangkan di beberapa negara luar seperti Singapura dan Amerika Syarikat.

Dalam masa yang sama treler filem yang akan ditayangkan pada 24 Ogos ini turut dilancarkan secara rasmi.
Malbatt: Misi Bakara dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.

Filem ini mengisahkan kisah benar tentang operasi untuk menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap apabila helikopter Black

Hawk mereka terhempas di Somalia. Cerita ini pernah diketengahkan di dalam filem Hollywood iaitu “Black Hawk Down”. Kali ini MALBATT: Misi Bakara bakal memberi naratif tentang malam kejadian tersebut dan mengenali wira yang sebenar.