Berita
Diberi Nafas Baharu, Kawasan Tragedi Highland Towers Bakal Jadi Tapak Bersejarah
Bukan membina tugu peringatan, sebaliknya kata Zuraida Kamaruddin dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihaknya hanya merancang mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya sebagai tapak bersejarah.
Pengumuman itu sekaligus menolak laporan media yang sebelum ini mengatakan KPKT berhasrat membina tugu peringatan di tapak berkenaan.
"Hasrat mengindahkan itu bagi memperingati peristiwa tragis yang mengorbankan 48 penghuni kondominium berkenaan pada 11 Disember 1993 yang juga telah melakar sejarah hitam buat negara," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Zuraida memberitahu kawasan di Highland Towers perlu diberi nafas baharu kerana sebelum ini mengundang rasa kurang senang penduduk setempat kerana masalah sosial yang didakwa berlaku di kawasan itu.
Justeru katanya kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu akan diceriakan menerusi pembangunan tempat bersejarah serta dalam masa sama dapat menjamin kesejahteraan penduduk di kawasan Highland Towers.
Media sebelum ini melaporkan KPKT merancang bina tugu peringatan di tapak Kondominium Highland Towers
Tragedi Highland Towers pada tahun pada 11 Disember 1993 menggemparkan negara apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut 48 nyawa.
Sumber: BERNAMA
Kredit Foto: Malaysia Gazette
Must-Watch Video