Penyanyi yang juga anak kepada Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani meminta bapanya supaya tidak memburukkan ibunya, Fatimatuzahra Samad selepas mendedahkan hubungan bersama bapanya agak renggang.

Memetik laporan sebuah media tempatan pada Isnin, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, mendakwa dia dihalang bertemu dengan anaknya oleh bekas isteri iaitu Fatimatuzahra selepas mereka berpisah.

Susulan berita berkenaan, Zaki tampil mendedahkan dakwaan bapanya itu tidak benar.

Menurut Zaki, dakwaan yang menyatakan ibunya tidak membenarkan dia bertemu dengan Jamal adalah tidak berasas kerana bapanya sendiri tidak menjawab panggilan ketika dihubungi.

“Berkenaan isu mak saya halang ayah saya untuk berjumpa, sebenarnya itu tidak benar.

“Untuk baba, kalau boleh berhentilah burukkan mami. Sebab bila Zaki sakit, dia yang jaga Zaki. Dia yang ada kat hospital, hantar Zaki kat hospital semua.

“Baba boleh je jumpa Zaki sebenarnya. Baba janji nak jumpa Zaki haritu tapi tak jumpa. Zaki WhatsApp pun baba tak balas. Call pun tak jawab.

“Kalau boleh, sudahlah, berhenti burukkan ibu Zaki,” jelas Zaki menerusi satu hantaran video di Instagram.

A post shared by Zaki Yamani (@zakiyamani._)


Menerusi temu bual bersama Utusan, Zaki mendedahkan kali terakhir dia menyambut lebaran bersama bapanya adalah sekitar lapan tahun lalu.

Jelasnya lagi, dia memahami bapanya kini sudah mempunyai kehidupan dan keluarga baharu selain enggan mengharapkan hubungan mereka kembali seperti dahulu.

Untuk rekod, Zaki adalah anak daripada hasil perkahwinan Jamal dengan Fatimatuzahra Samad.

Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki bernama Osama Yamani hasil perkahwinan dengan Intan Noraina Mohd Yusof.

Pada 1 April 2017, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati Khiruddin dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 2 dan Iskandar Rayyan Yamani yang baru dilahirkan Februari lalu.