Hiburan

"Kita Hilang Seorang Yang Begitu Bermakna Dalam Industri Muzik" - Jamal Abdillah

gempak
Gempak
16/11/2024
19:12 MYT
Sponsor Banner
"Kita Hilang Seorang Yang Begitu Bermakna Dalam Industri Muzik" - Jamal Abdillah
Pemergian komposer terkenal Datuk S. Atan yang meninggal dunia hari ini pada usia 75 tahun disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.

BERITA TRENDING: S Atan Meninggal Dunia

Penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah berkata peminat muzik tempatan pasti akan terasa dan merindui sentuhan lagu-lagu Melayu yang baik daripada Allahyarham.
"Kita kehilangan seorang yang begitu bermakna dalam industri muzik tempatan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman Allahyarham S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said di Taman Bukit Kajang, Selangor pada Sabtu.
Berita pemergian S. Atan disahkan sendiri isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi Bernama yang memaklumkan suaminya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Jamal berkata dia mempunyai beberapa lagu yang diterbitkan oleh Allahyarham antaranya tiga lagu hari raya yang hingga kini masih menjadi siulan ramai.
"Secara peribadi, saya sangat hormati arwah. Beliau sangat tegas terutamanya ketika dalam studio rakaman," katanya yang memaklumkan kali terakhir berhubung dengan arwah pada Selasa lepas.

BERITA TRENDING: "Selepas Azan Subuh Dia Beri Isyarat 5 Jari, Saya Ingatkan …" - Isteri Allahyarham S Atan

Sementara itu, adik Allahyarham dan penulis lirik Fatah Hasan atau lebih dikenali Belle Fatah mendedahkan beliau dan abangnya sedang menyiapkan satu projek bagi menerbitkan beberapa lagu untuk seorang artis wanita tempatan.
Fatah berkata projek itu melibatkan keseluruhan lapan lagu iaitu tiga lagu dihasilkan oleh beliau dan lima lagi lagu akan dihasilkan oleh abangnya, namun Allahyarham sempat menyiapkan tiga lagu sahaja.
"Insya-Allah saya akan teruskan untuk menyiapkan projek ini dan tiga lagu yang telah dihasilkan oleh abang saya akan menjadi karya terakhir dan 'masterpiece' S. Atan," katanya.
Difahamkan jenazah S. Atan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada 11 pagi Ahad.

BERITA TRENDING: Mengimbau Memori Lagu Raya Nostalgia S. Atan, Ini 5 Perkara Kami Suka Tentang Konsert Cahaya Aidilfitri DFP

Sebagai komposer, S. Atan terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam beberapa penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.
Allahyarham juga banyak menghasilkan lagu untuk hari raya sejak hampir 50 tahun lepas, antaranya Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave, Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya di Desa (Azlina Aziz). Sementara itu, penyanyi legenda Datuk DJ Dave yang sependapat dengan Jamal berkata bakat, semangat dan dedikasi Allahyarham telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri muzik tanah air.
"Hari ini saya kehilangan seorang sahabat yang sangat saya hormati, seorang genius muzik yang telah menghidupkan begitu banyak lagu yang tidak akan dilupakan termasuk lagu hit saya seperti Menjelang Hari Raya dan Kawan Setia," katanya dalam kenyataan malam ini.
DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) berkata bulan lepas, beliau sempat melawat S Atan di rumahnya ketika Allahyarham sedang sakit, yang kini menjadi satu kenangan sangat bermakna.
"Allahyarham juga bekerja keras dalam menyusun lagu 'Setia Perpaduan', lagu perpaduan saya yang dikeluarkan tahun lepas, satu bukti komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi untuk menyatukan orang ramai melalui muzik," katanya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberi kekuatan untuk menghadapi saat sukar.
"Semoga rohnya diberkati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Terima kasih, sahabatku, atas melodi dan kenangan indah yang kau tinggalkan. Kau akan sentiasa dikenang," kata DJ Dave. -BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024