Hollywood

Didakwa Lakukan Serangan Seksual, Ini Kenyataan Justin Bieber

gempak
Asraf Aided
24/06/2020
05:32 MYT
Sponsor Banner
Didakwa Lakukan Serangan Seksual, Ini Kenyataan Justin Bieber
Isu dakwaan penyanyi popular Hollywood melakukan serangan seksual terhadap seorang individu dikenali sebagai Danielle pada tahun 2014 telah hangat diperkatakan di media sosial.
Tidak berdiam diri, Justin tampil menafikan dakwaan tersebut bersama beberapa bukti kukuh untuk menegakkan kebenaran sebenar.
"Saya jarang memandang serius terhadap tuduhan liar sepanjang bergiat dalam industri hiburan, namun, selepas berbincang dengan isteri saya, perkara ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia membabitkan tuduhan melakukan serangan seksual.
"Saya mahu bercakap tentang kebenaran sebenar, saya juga mempunyai fakta dan bukti-bukti kukuh sebelum membuat kenyataan ini," jelasnya di Twitter.
Menurut Justin, individu tersebut mendakwa dia melakukan serangan seksual pada 9 Mac 2014 di Hotel Four Seasons, Austin Texas.
Walaubagaimanapun, penyanyi lagu Yummy ini berjaya mendapatkan pengesahan rekod dari pihak Four Seasons untuk menolak dakwaan tersebut.
"Pihak saya juga telah mendapat pengesahan daripada pihak pengurusan Four Seasons yang berjaya membuktikan saya tidak berada di hotel tersebut pada tarikh yang dinyatakan oleh individu berkenaan.
"Saya juga mengalu-alukan pihak media untuk berhubung secara terus dengan pihak hotel tersebut," tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Justin juga menunjukkan bukti dia bersama bekas kekasihnya, Selena Gomez di satu lokasi lain pada 9 Mac 2014 menerusi rekod Airbnb.
"Gambar ini pula menunjukkan saya dan Selena di Austin, ia sangat jelas menunjukkan yang kami tidak langsung ke hotel Four Seasons, ini merupakan resit Airbnb kami yang turut disertai oleh beberapa rakan lain," tambahnya.
Terdahulu, Justin telah mendirikan rumah tangga bersama model dan personaliti TV, Hailey Baldwin pada November 2018.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024