Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Difitnah Di IG Live, Siti Nordiana Buat Laporan Polis & Sediakan Notis Tuntutan Maaf Kepada 5 Individu Ini

Amri Hassan
23/07/2021 05:12 MYT
Penyanyi Siti Nordiana tampil membuat laporan polis menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dalam sesi siaran langsung Instagram beberapa selebriti baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat di IPD Cheras pada pukul 9.42 pagi hari Jumaat.

Nana yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin menerusi Abang Azlan & Associates memberitahu laporan polis itu sebagai satu penafian mengenai dakwaan yang dilemparkan pada sesi siaran langsung itu.

"Laporan polis itu merupakan satu penafian untuk melindungi Nana daripada tohmahan dan fitnah. Kami masih berbincang mengenai notis tuntutan maaf dan akan dihantarkan kepada lima individu terbabit pada hari Isnin hadapan.

"Menerusi notis itu, kelima-lima pihak tersebut akan diberi tempoh masa sehingga 48 jam untuk membuat permohonan maaf kepada Nana.

"Menerusi sesi siaran langsung itu memang jelas segala perbualan itu merujuk kepada Nana dan kenyataan yang perkatakan berbaur fitnah sekali gus memberikan imej buruk kepada Nana," kata Abang Azlan menerusi sesi sidang media khas virtual bersama media pada Jumaat.

Tambah Abang Azlan, sekiranya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan, tindakan saman akan diambil terhadap mereka.

Selasa lalu kecoh apabila penyanyi Lan Solo bersama isteri, Nur Sheila Hassim tampil mengadakan siaran langsung Instagram pada lewat malam difahamkan untuk mendedahkan sikap sebenar Nana.

Sesi siaran langsung itu kemudiannya disertai penyanyi Syura, jurusolek selebriti Aida G dan pengurus artis dan promosi, Sam Samin.

Bagaimanapun, sesi siaran langsung Instagram itu telah dipadamkan daripada media sosial mereka namun telah dimuatnaik semula di YouTube.

BACA: Siti Nordiana Sediakan Peguam, Ulas Dakwaan Tular Kemelut Dengan Syura & Lan Solo

Sementara itu, Nana meluahkan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan individu terbabit yang mengadakan sesi siaran langsung di media sosial hingga mendatangkan kesan buruk kepada kerjaya dan imejnya.

"Saya dimaklumkan mengenai sesi live ini pada malam raya (Aidiladha), ada kawan saya meminta saya masuk dalam IG Live mereka tapi sudah terlalu lewat malam. Jadi saya tak sertai mereka.

"Kemudian saya mendapat kiriman klip daripada sesi IG Live itu. Apabila sudah melibatkan IG Live, saya tak boleh bersabar sebab ini menjatuhkan karier dan reputasi saya. Jadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini untuk membersihkan nama saya.

"Sepatutnya kalau ada benda yang tak puas hati boleh datang terus kepada saya, call atau video call saja, tak perlu dipaparkan secara langsung. Mereka boleh berhubung secara profesional dan menyelesaikan masalah ini, memang saya rasa ralat kenapa perlu di media sosial," ujarnya.

Nana mengakui pernah menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp sebelum tercetusnya kemelut ini namun tidak sempat membalasnya selain risau kenyataannya akan diputarbelit.

"Saya lebih suka selesaikannya secara profesional, secara bersemuka atau panggilan telefon. Kalau reply nanti semua akan dipusing," tambahnya.
#pelakon #Penyanyi #Viral #Kontroversi #Siti Nordiana #saman #Netizen #Polis #Syura #Lan Solo #Gaduh #PKP #IG Live #Aida G #Putus Kawan #Sam Samin
;