Laman Utama
Digelar King Of Mandopop, Berlakon Filem Hollywood, Ini 10 Fakta Menarik Tentang Jay Chou
Sejak kebelakangan ini, nama penyanyi kelahiran Taiwan, Jay Chou kerap diperkatakan dalam kalangan netizen.
Hal ini terjadi gara-gara pentas konsert penyanyi itu, Jay Chou Carnival World Tour yang dijadualkan berlangsung pada 15 Januari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur telah menghalang sekitar 21,000 kerusi dijual bagi Piala AFF tempoh hari, sekaligus mengundang ‘amarah’ segelintir peminat bola.
Ramai yang bertanya, siapakah Jay Chou? Apakah portfolionya dalam bidang muzik? Jom semak fakta mengenai lelaki berbakat besar yang cukup terkenal dengan gelaran King of Mandopop ini:
1. Jay Chou dilahirkan dan dibesarkan di Taipei, Taiwan pada 18 Januari 1979. Ibunya, merupakan seorang guru muzik, manakala bapanya pula seorang penyelidik bio-perubatan. Sekarang kita tahu mana datangnya bakat Jay Chou dalam bidang seni.
2. Kariernya dalam bidang muzik bermula apabila Jacky Wu, pengacara Super New Talent mengesan bakat Jay Chou pada tahun 1998 dan menjemputnya menyertai Alfa Music dan digandingkan dengan penulis lirik Vincent Fang. Jay Chou kemudiannya muncul dengan album debut Jay pada tahun 2000!
3. Puncak populariti Jay Chou terserlah apabila album berjudul Fantasy yang diluncurkan pada September 2001 terjual lebih dua juta salinan ketika itu.
4. Selepas menempa nama sebagai penyanyi, Jay Chou mencuba nasib dalam bidang filem dengan memainkan watak Takumi Fujiwara dalam filem aksi adaptasi manga, Initial D.
5. Pada 2011, langkah Jay Chou ke persada filem Hollywood dimulakan menerusi filem Green Hornet. Menerusi filem berkenaan, Jay Chou memegang watak Kato, yang pernah disandang oleh Bruce Lee menerusi siri Green Hornet sekitar tahun 1966.
6. Kemudian pada 2016, Jay Chou dipilih untuk menyandang watak Li dalam filem Now You See Me 2. Menerusi filem ini, Jay Chou bergandingan dengan nama-nama besar seperti Jesse Eisenberg.
7. Pada 2016 juga, Jay Chou telah membeli pasukan e-sport League of Legends Taipei Assassins dan menamakannya sebagai J Gaming. Tahun berikutnya, dia membelanjakan sekitar 18 juta RMB (RM11.63) untuk membina Bangunan Jay eSports di Shenzhen, China.
8. Jay Chou juga merupakan penerbit di sebalik lagu tema Kung Fu Panda 3 berjudul Try dan menjadi pelakon suara bagi watak Master Monkey versi Cina.
9. Selain menyanyi dan berlakon, Jay Chou turut duduk di kerusi sutradara bagi mengarahkan filem perdananya, Secret pada 2007. Menerusi filem berkenaan, Jay Chou turut memegang watak utama bernama Jay.
10. Seiring dengan perkembangan dunia penstriman, Jay Chou turut memiliki rancangan travelog sendiri di Netflix berjudul J-Style.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video