Sekilas
- Bella Astillah mengakui dia juga mengalami masalah kulit seperti jerawat dan breakout, terutama apabila usia semakin meningkat.
- Dia menekankan pentingnya menerima kekurangan diri dan membina keyakinan terhadap kecantikan semula jadi tanpa bergantung kepada solekan.
- Bella telah dilantik sebagai duta produk penjagaan wajah Skin 1004 dan mengajak orang ramai memulakan rutin penjagaan kulit tanpa mengira usia.
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui dirinya juga tidak terlepas daripada mengalami masalah kulit wajah seperti jerawat dan breakout, terutama apabila usia semakin meningkat.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, dia percaya setiap individu perlu menerima kekurangan diri dan membina keyakinan terhadap kecantikan semula jadi tanpa terlalu bergantung kepada solekan.
“Saya pun sama seperti orang lain yang mengalami masalah breakout pada wajah. Kadang-kadang, apabila bersukan, kita lebih selesa untuk tidak mengenakan solekan.
“Jadi, apabila tidak bersolek, barulah nampak cacat cela pada kulit wajah. Namun, kita hanyalah manusia biasa dan perkara itu adalah normal,” katanya.
Bella berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman Bella sebagai duta produk penjagaab wajah, Skin 1004 bertempat di Since Then, Bangsar pada Jumaat.
Bagaimanapun, Bella berpendapat penjagaan kulit wajah juga perlu bermula dengan rasa sayang terhadap diri sendiri sebelum seseorang itu mengambil inisiatif untuk mengamalkan rutin penjagaan kulit.
“Bagi saya, kita perlu yakin dengan diri sendiri kerana kita ini cantik untuk diri sendiri. Sebab itulah kena sayangi diri kita.
“Apabila kita sudah mula sayang diri sendiri, barulah timbul kesedaran untuk memulakan rutin penjagaan kulit wajah,” ujarnya.
Malah kata Bella lagi, tiada istilah terlambat untuk seseorang mula mengambil berat tentang kesihatan dan penjagaan kulit.
“Kawan-kawan saya pernah cakap kita akan mula mencari produk skincare apabila kulit sudah tidak berada dalam keadaan baik.
“Macam saya dahulu, pernah rasa yakin kulit tidak akan naik jerawat, tetapi apabila semakin berusia, macam-macam boleh muncul pada wajah.
“Jadi, tiada istilah terlambat untuk memulakan penjagaan kulit. Mulakan dari sekarang. Bukan kerana saya duta produk penjagaan kulit, tetapi perkara itu memang sangat penting, termasuk penggunaan sunscreen," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Bella telah dilantik sebagai duta jenama produk penjagaan wajah, Skin 1004.