Laman Utama
Dikecam Netizen Gara-Gara Pakai Baju Perempuan Dalam Mat Tudung Begins, Ini Jawapan Fizz Fairuz…
Pelakon dan produser, Datuk Fizz Fairuz akhirnya membuka mulut dan memberi kenyataan balas berhubung kritikan yang diterima gara-gara poster filem terbaharu terbitan dan arahannya, Mat Tudung Begins.
Fizz berkata, orang ramai tidak seharusnya menilai terlalu awal dan perlu melihat pengisian filem terlebih dahulu.
“Jangan nilai pada poster, pergi beli tiket tengok apa yang ada… insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Berbicara lanjut mengenai filem, Fizz berkata, dia sebenarnya sudah lama merancang untuk menerbitkan semula filem Mat Tudung yang pernah dijayakan sekitar sembilan tahun lalu.
“Saya ada tanya pada pihak penerbit sebelum ini sama ada nak sambung atau tidak, tetapi tiada jawapan daripada mereka.
“Mungkin sebab kekangan bajet atau ada sebab-sebab lain. Memang saya berminat nak buat sambungannya, cuma ia di bawah produksi Showbiz dan ambil masa juga nak minta kebenaran untuk pembikinannya,” katanya.
Jelas Fizz, setelah menunggu agak lama, akhirnya dia telah mendapat kebenaran daripada Datuk Norman Abdul Halim selaku penerbit Mat Tudung untuk menerbitkan judul itu sendiri pada Mei 2022.
Begitupun, Fizz menjelaskan untuk filem tersebut, ia bukanlah kesinambungan kepada jalan cerita filem pertama.
“Akhirnya hasrat saya ini terlaksana setelah saya dapat kebenaran untuk terbitkan sendiri, tetapi bukanlah Mat Tudung 2. Ia adalah prekuel yang bermakna kisah yang berlaku sebelum Mat Tudung pertama dan sebab itu tajuknya adalah Mat Tudung Begins.
“Filem ini akan menjelaskan tentang bagaimana Johari boleh belajar menjadi Mat Tudung dan rakan yang mencetuskan idea menyebabkan dia menyamar,” ujarnya.
Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Damansara dan Genting Highland, Fizz berkata, Mat Tudung Begins masih mengangkat tema cerita sama iaitu tentang seorang lelaki yang menyamar menjadi wanita untuk menyelesaikan masalah yang melanda sebuah keluarga.
Dalam pada itu, Fizz menyatakan filem pertama arahannya itu menyajikan sebuah jalan cerita yang menarik serta sarat dengan elemen-elemen komedi yang mampu menghiburkan penonton.
“Bagi filem Mat Tudung Begins ini, saya percaya ia lebih kelakar berbanding yang sebelumnya dan saya yakin penonton akan rasa terhibur. Selain itu, saya juga menampilkan barisan pelakon-pelakon yang hebat dan turut diserikan lagi dengan kemunculan dua orang influencer terkenal,” kongsinya.
Lebih menarik lagi, Mat Tudung Begins turut menampilkan barisan artis popular seperti Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud, Kazar Saisi serta dua influencer popular media sosial iaitu Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri. Mat Tudung Begins mengisahkan tentang seorang jejaka bernama Johari yang bekerja di sebuah hotel. Hotel tempat dia berkerja bakal menerima kedatangan juri The Forbest – iaitu sebuah badan penilai yang akan membuat penilaian sama ada hotel berkenaan layak mendapat tambahan bintang atau tidak. Namun pihak hotel diberitahu bahawa juri akan datang secara rahsia dan membuat penilaian selama satu minggu.
Hal ini sangat menggusarkan Abang Gee iaitu pengurus hotel tersebut. Kemudian Johari bersama rakan sekerjanya, Sabri mula mengesyaki bahawa sebuah keluarga yang datang menginap di situ merupakan juri The Forbest kerana lagak dan gerak-geri keluarga bersama anak mereka sangat mencurigakan dan mereka tidak kelihatan seperti keluarga yang sebenarnya.
Johari juga cuba mendekati Neesa anak kepada keluarga itu, tetapi gagal. Akhirnya Johari menggunakan kaedah menyamar menjadi seorang wanita bertudung bernama Johana, semata-mata mahu rapat dan mendekati Neesa.
Must-Watch Video