Susulan kenyataan pelakon Datuk Fizz Fairuz berhubung isu Perkeso untuk penggiat seni, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tampil menjelaskan perkara tersebut.

Berterima kasih kepada Fizz, Setiausaha Agung Seniman iaitu Hafiz Nafiah menerusi kenyataan rasmi berkata perkongsian aktor itu di laman sosial seakan-akan memberi gambaran buruk terhadap persatuan tersebut.

“Beliau juga ada memberikan gambaran bahawa Seniman selama ini tidak berbuat apa-apa untuk ahli-ahli Seniman.

“Seniman ingin memaklumkan kepada beliau bahawa selama ini banyak inisiatif-inisiatif dan dasar yang Seniman lakukan untuk ahli-ahli Seniman. Malangnya berkemungkinan beliau sendiri tidak pernah untuk mengambil tahu apa yang dilakukan oleh Seniman,” katanya.

Hafiz turut berterima kasih kepada Fizz yang membangkitkan isu tersebut sehingga menjadi tular dan sekali gus membuatkan ahli Seniman lain mengetahui tentang kerjasama dengan Perkeso sejak dua tahun lalu.

“Walaubagaimanapun, Seniman berterima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu berkenaan Perkeso dan isu ini menjadi viral dan memberikan ruang untuk ahli-ahli Seniman mengetahui bahawa Seniman telah bekerjasama dengan Perkeso sejak tahun 2020 lagi secara rasmi.

“Dalam kerjasama ini Seniman dilantik menjadi agen tunggal untuk kategori seni budaya sejak di rundingan antara dua pihak sejak tahun 2019. Sejak 2021 sehingga hujung 2022 melalui data Seniman hanya 82 orang sahaja ahli Seniman yang berdaftar di bawah skim khas Perkeso ini.

“Malah untuk pengetahuan Datuk Fizz Fairuz, sejak kerjasama ini diputuskan, seramai lebih 10 orang ahli Seniman telah mendapat bantuan dan faedah daripada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ini,” ujarnya.

Sementara itu, pihak Seniman turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dibuat Fizz yang sedikit sebanyak telah menjejaskan kredibiliti serta imej persatuan itu.

“Seniman juga agak kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Fizz Fairuz yang dianggap sebagai serkap jarang tanpa usul periksa dengan pihak Seniman sendiri.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti dan imej Seniman atas kenyataan yang tidak berasas. Seniman juga berharap dengan kejadian ini akan lebih ramai ahli Seniman mengetahui tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri inisiatif antara Seniman dan Perkeso ini,” katanya.

Terdahulu, Fizz menerusi laman sosial miliknya berkongsi pendapat mengenai insiden pelakon Fasha Sandha yang mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Menerusi perkongsian itu, Fizz turut mempersoalkan tindakan Seniman yang masih tidak menyediakan KWSP dan Perkeso untuk penggiat seni.