Penyanyi dan pemuzik Adzrin Adzhar memohon maaf sekiranya pemakaian niqabnya yang disuai padankan dengan fesyen semasa dianggap menjadi punca pemakai niqab diperlekeh dan difitnah.

Jelas Adzrin, dia masih dalam proses untuk belajar berpakaian dengan tatacara yang lebih sopan dan menerima pandangan yang diterima terhadapnya.

"Saya minta ampun kalau saya punca pemakai niqab diperlekehkan dan difitnah. Saya tidak menjadikan niqab sebagai fesyen cuma saya seorang fashionable dari dulu dan berfikir niqab bukan halangan untuk terus berfesyen dan memainkan elemen warna, khilaf saya.

"Yang ikut saya dari dulu sedar yang saya pakai turban seluar ketat, baju singkat, kepala main balut-balut je dan sekarang cuba memakai longgar lebih kerap pakai jaket labuh dan sebagainya.

"Shopping baju dan seluar longgar hampir setiap minggu.

"Perlahan-lahan ya, tak boleh laju. Belum kaya," ujarnya.



Penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Malaya kini lebih kerap berkongsi penampilannya yang berniqab di Instagram.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang kurang senang dan tampil menegur caranya berfesyen biarpun berniqab.

Malah, ada juga yang menasihatinya untuk berusaha menjaga batas aurat dan mengelakkan daripada menarik perhatian orang atas dasar mahu berfesyen.

"Kalau memilih berjubah lebih mendatangkan fitnah pada pemakai syarie lain sebab? Buat masa sekarang saya seorang pemuzik sepenuh masa, buruk bahasa saya masih ada ikatan dengan 'hal dunia' sebab muzik buat masa sekarang ini sumber pendapatan utama.

"Terima kasih bidadari datang menegur. Saya sudah cuba paling baik yang paling sesuai dengan kehidupan saya. Sudah semestinya semua orang mahu syurga Allah, insya-Allah suatu hari saya akan buat lagi baik.

"Harap tidak mendatangkan buruk pada niqabis lain kerana diri saya yang hina ini," tambahnya.

Ditegur pengguna laman sosial dengan menyifatkan niqab dan pakaian longgar sepatutnya bersifat zuhud dan tidak menarik perhatian, ini komen Adzrin.

"Aurat is Islam, tak nampak warna kulit tak nipis, separuh tutup separuh buka, berwangi-wangi menarik pandangan lelaki, tudung melepasi dada.

"Again niqab itu bukan compulsory tetapi diletak sebagai level sacred paling tinggi bagi bani melayu. Tanpa niqab boleh fashion dengan niqab tak boleh fashion?

"Berhentilah tuan melevel iman dan malu manusia melalui pakaian sesungguhnya berapa banyak imam lebai merogol anak sendiri dan kes-kes arqam sebelum ni berkongsi isteri," jawabnya.