Selepas tular mengenai iklan susu pisang jenama Nilofa yang didakwa mengelirukan pengguna oleh netizen, Dr. Amalina Bakri turut bertanya tentang perkara tersebut kepada Neelofa.

Dr. Amalina baru-baru ini telah menulis ciapan mempersoalkan tentang iklan produk yang menyenaraikan kebaikan susu tersebut yang dianggap menipu pengguna.

“Iklan ini menipu. Mengikut label nutrisi susu tu tidak mengandungi fiber langsung. Jadi macam mana mereka boleh kata susu membantu membuang lebihan toksik dalam badan? Yang kedua, tiada ramuan dalam susu yang boleh membantu mengawal pengeluaran insulin dalam badan,” ciapnya.



Selain itu Dr. Amalina turut menanda nama Neelofa dalam ciapannya dan meminta penjelasan tentang perkara tersebut.

“Hi @Neelofa, saya harap anda dan pasukan dapat memberi penjelasan tentang perkara ini. Ya, memang tak salah jual susu pisang tetapi iklan yang dipamerkan mengelirukan. Saya pasti anda tahu tentang tidak dibenarkan mengiklankan tetang manfaat kesihatan secara berlebihan. Boleh tolong jelaskan? Terima kasih,” tulisnya.

Ciapan Dr. Amalina mendapat perhatian netizen termasuk salah seorang stokis susu tersebut yang tampil memberi pencerahan.

Stokis tersebut telah meletakkan kesalahan kepada stokis dan agen yang berlebih-lebihan mempromosikan produk mereka, sedangkan HQ Nilofa tidak pernah menyatakan tentang khasiat susu pisang tersebut seperti didakwa netizen.

Selain Dr. Amalina, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan turut mengambil perhatian tentang perkara itu.

Dalam posting pada 30 November lalu, KKM telah memuat naik posting menerusi Facebook BKKM mengenai susu pisang hanya sekadar susu berperisa, bukan ubat yang boleh merawat sebarang penyakit.

BKKM turut memuat naik akta makanan yang menyebut perkara yang tidak boleh diletakkan pada label makanan.

Tambah BKKM lagi daripada senarai ramuan susu Nilofa, tidak ada kandungan pisang langsung di dalamnya.

BKKM turut menggesa pengguna supaya berwaspada dan jangan tertipu dengan iklan-iklan produk makanan seumpama itu.


Menjawab soalan netizen, di ruangan komen, BKKM memberitahu sedang mengambil tindakan terhadap pemasaran produk tersebut.