Penerbit filem Datuk Rosmarayu Mokhtar enggan memilih pelakon yang terlibat dalam masalah moral untuk membintangi naskhah terbitannya.

Pemilik D’Ayu Pictures itu menegaskan tindakan itu perlu dilakukan kerana ia akan merisikokan penjualan filem yang bakal diterbitkannya, memandangkan filem perlu dijual kepada penonton berbanding drama TV yang ditayangkan secara percuma.

"Kalau buat drama jual kat TV, stesen yang akan bayar. Tapi kalau filem, saya takut penonton tak datang.

"Jadi, macam mana nak ambil (pelakon bermasalah) ini berlakon. Perkara ini penting dan perlu dilihat secara mendalam.

"Nanti netizen boikot filem saya sedangkan saya dah banyak keluarkan wang buat filem. Rugilah saya.


"Saya akan nilai dari sudut kontroversi dulu sebelum fikir aspek bakat. Saya takut terjejas filem tak laku dan akhirnya syarikat saya ditutup," ujarnya kepada Gempak.

Rosmarayu ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di kediamannya di Country Heights, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

A post shared by Dato Ayu (@datoayu)

Sumbangan artis veteran

Pada majlis sama, Rosmarayu turut mengambil kesempatan dengan memberikan sumbangan kepada 30 artis veteran yang ketika ini kurang mendapat tawaran berlakon dan menyanyi.

Antara artis yang menerima sumbangan termasuklah Nor Azifah, Emma Akma, Datin Fadilah Mansor, Hamidah Wahab, Zuraini Kassim, Rahim Kidol, Rozie Othman, Shaharudin Tambi, Fazli Zainal, Rashidah Jaafar, Chef Yang Jamil dan ramai lagi.

"Sebenarnya dah lima tahun saya tak buat majlis begini. Kebetulan rumah ini dikira baru siap, jadi saya buatkan kenduri sekali dengan Rumah Terbuka.

"Saya juga ambil kesempatan beri sumbangan kepada 30 penggiat seni veteran yang kurang dapat tawaran berlakon. Saya kasihan mendengar rintihan mereka yang tiada tawaran.

"Saya rasa kasihan dan suruh Presiden Seniman, Zed Zaidi kumpulkan beberapa nama untuk beri bantuan. Kalau saya ada produksi drama, dah lama saya ambil mereka berlakon," katanya.

BERITA TRENDING: Anak Sulung Aliff Aziz, Bella Astillah Tunjuk Power Menyanyi! Ayden Adrean Dapat Sorakan Ramai