Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri ingin melelong jam tangan berjenama Rolex yang diterima sebagai hadiah daripada Raja Saudi, DYMM Salman Abdulaziz al-Saud.

Dr Zulkifli menerusi hantaran di Facebook berkata, dia menerima cendera mata tersebut selepas mewakili mufti dan ulama Malaysia dalam menyampaikan ucapan di hadapan baginda.

“Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.


Saya diminta oleh Kerajaan Malaysia, selaku Mufti Wilayah Persekutuan, untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz hafizahullahu ta’ala dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

“Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr. Aizam untuk mengambilnya.

BERITA TRENDING: Dr Zul Perincikan Hukum Sertai Larian Maraton Anjuran Institusi Berasaskan Riba - “Kami Syorkan..."

“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri. Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur,” tulisnya.

Dr Zulkifli menambah, apabila dia meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadinya. Di sana, barulah dia membuka kotak hadiah itu sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi.

“Menjunjung kasih DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini. Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.

BERITA TRENDING: Dikritik Sebab Hantar Anak Belajar Guna Biasiswa MAIWP, Dr Zul Jawab Netizen…

“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.

“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana. Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen. Bidaan ditutup pada 31 Oktober 2023 jam 12 tengah malam,” tutupnya.