Sejak kebelakangan ini, acara larian maraton dilihat begitu kerap diadakan, lebih-lebih lagi selepas tamatnya pandemik COVID-19. Dan tidak keterlaluan dikatakan larian ini mempunyai pengikut dan peminat tersendiri.

Namun, acara sebegini biasanya melibatkan penganjur yang datang daripada pelbagai latar belakang dan hal ini yang perlu dititik beratkan oleh umat Islam.

Menurut Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, individu beragama Islam tidak boleh menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba kerana ia merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya.

Beliau berkata, individu itu berdosa jika masih berdegil dan enggan menjauhkan diri daripada mempromosikan syarikat berkenaan, meskipun tahu penaja menjalankan jual beli diharamkan syarak.

“Akan tetapi, sekiranya dia tidak cakna tentang senarai penaja atau tidak tahu bahawa syarikat itu menjalankan jual beli berunsurkan riba, maka kami berharap mereka ini diberikan keampunan oleh Allah SWT.

“Kami mengesyorkan agar pihak yang terbabit dalam penganjuran, perlulah cakna dan prihatin akan sensitiviti umat Islam sekiranya ingin menganjurkan sebarang program.

“Pastikan penganjuran tersebut selamat daripada unsur membawa kepada tipu daya, riba dan sebagainya," kata beliau dalam blognya.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu menjawab persoalan mengenai hukum menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba.

Tambah beliau, kegiatan mempromosi termasuk segala bentuk usaha dan kegiatan boleh menggalakkan masyarakat atau mempertingkatkan jumlah pelanggan yang akan menggunakan perkhidmatan disediakan syarikat berkenaan.

“Mereka boleh dianggap tolong-menolong atau bekerjasama dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung atau tidak.

“Berdasarkan pemerhatian kami, laman rasmi acara tersebut secara jelas menyebutkan setiap institusi dan syarikat yang bekerjasama serta menyumbang bagi menjayakan larian jarak jauh ini,” katanya.

BACA: "Anak Bekas Menteri Terima Biasiswa Di Bawah Asnaf Fisabilillah" - MAIWP​