Penyanyi popular Katy Perry dan model antarabangsa Gigi Hadid diharamkan daripada memasuki negara China untuk Victoria's Secret Fashion Show sempena Shanghai Fashion Week pada 28 November depan.

Katy sepatutnya membuat persembahan untuk acara terbabit manakala Gigi merupakan salah seorang model yang bakal memperagakan koleksi terbaharu Victoria's Secret tahun ini.

Laporan media antarabangsa mendedahkan Katy dihalang daripada memasuki negara China berikutan dres bunga matahari yang dipakainya pada tahun 2015 ketika mengadakan konsert di Taipei, Taiwan.

Dres itu dikatakan simbolik kepada Sunflower Student Movement iaitu satu gerakan anti-China di Taiwan.



Gigi pula didakwa bersikap rasis terhadap penganut agama Buddha menerusi sepotong video yang dimuat naik di media sosialnya dengan meniru wajah patung Buddha pada sekeping biskut.



Susulan itu, penyanyi Harry Styles dijangka bakal menggantikan kemunculan Katy pada pentas Victoria's Secret Fashion Show di Shanghai, China tahun ini.

Pembabitan Victoria's Secret dalam acara Shanghai Fashion Week merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah fesyen dunia yang akan membabitkan 55 orang model daripada 17 buah negara.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Dailymail