Viral
“Dua Hari Sebelum Meninggal, Ibu Kata Dia Maafkan Kami Dan Halalkan Susunya...” - Anak
Sebelum ini tular mengenai nota ditinggalkan seorang wanita yang menderita kanser lidah tahap empat kepada anak-anaknya, sebelum meninggal dunia.
Nota yang ditulis Allahyarham Rosimah dalam sebuah buku itu kini dalam simpanan lima orang anaknya.
Anak kedua Allahyarham Nurul Shafina Mazani, 24, berkata buku nota tersebut
sentiasa menjadi teman ibunya ketika sakit.
“Segala permintaan dan pesanan kepada kami banyak ditulis dalam buku ini. Kami tidak akan buang buku ini tetapi akan simpan sebagai kenangan kerana ia pengganti diri mak,” katanya.
Dia yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang berkata, kali terakhir ibunya menukilkan pesanan dalam buku berkenaan dua hari sebelum kematiannya.
“Antara pesanan terakhirnya supaya kami adik-beradik jangan bergaduh dan dia memohon maaf kepada kami.
“Dia juga sudah memaafkan kami termasuk menghalalkan susunya serta memberitahu mungkin itu kali terakhir dia menulis.
“Rupanya itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Wanita disayangi mereka itu meninggal dunia akibat kanser lidah, 6 Mac lalu.
Allahyarham Rosimah disahkan menghidap kanser lidah tahap empat April tahun lalu dan sempat menjalani dua kitaran kemoterapi dan 30 kali radioterapi.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video