Berita
Dua Lagi Pesakit Koronavirus Sembuh Sepenuhnya
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan dua lagi pesakit yang dikesan positif COVID-19 sebelum ini disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang hari ini, lapor AWANI.
Menurut menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ujian pengesanan kali kedua terhadap pesakit kes ke-17 dan ke-18 itu didapati negatif.
“Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan, dua lagi kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.
“Ia adalah kes 17 seorang wanita tempatan berusia 65 tahun iaitu kontak rapat kes ke 9.
"Kes ke-18, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun, bekerja di Macau, China dan dirawat di hospital sama setelah disahkan positif COVID-19 pada 9 Februari lalu,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Sehingga kini daripada 22 kes yang dikesan, sebanyak 15 kes telah pulih sepenuhnya, manakala tujuh lagi kes masih dirawat di beberapa hospital kerajaan.
Mengulas berkenaan kejayaan pihaknya dalam mengurangkan bilangan pesakit positif COVID-19, jelas Dr Dzulkefly ia dibantu dengan kelengkapan makmal serta pakar dari KKM.
Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga sentiasa dititik-beratkan terutamanya apabila merujuk keadaan semasa COVID-19 di Singapura yang kini memasuki peringkat jingga.
“Di seberang tambak Johor, Singapura ketika ini mengalami sedikit gawat dan berada pada peringkat orange (jingga).
“Kita juga telah pun mewujudkan sidang video pada 11 Februari lalu dan mewujudkan sebuah jawatankuasa yang dinamakan Joint Working Group (JWG),” kata Dzulkefly lagi.
Sumber : Astro AWANI
Must-Watch Video