Bintang Gegar Vaganza lapan (GV8) Ani Mayuni akui hilang keyakinan diri kerana kali pertama dia bertanding tanpa kehadiran arwah ayahnya Osman Naiyuni di sisi.

Menurut Ani, selama ini arwah merupakan ‘tulang belakang’ yang banyak menemani perjalanan kariernya.

Malah, menurutnya, apabila muncul setiap persembahan atau pertandingan pastinya arwah menjadi individu yang paling banyak memberi kata-kata semangat dan juga kritikan.

“Saya kuat sebab ayah sebenarnya dan saya sampai tahap ini dan berada di sini juga semua sebab dia.

“Kalau diikutkan saya nak berhenti menyanyi. Orang nampak saya ceria sebenarnya di dalam saya tak ceria, saya cari dia setiap kali atas pentas sebab dia juri saya yang sebenar.

“Tapi kali ini bertanding tanpa dia. Itu yang saya cakap mana pergi semangat aku ni.

“Saya macam lost daripada minggu pertama. Biarpun suami ada call, tapi tak sama,” katanya.

Jelasnya, disebabkan ketiadaan arwah juga, dia adakalanya seperti takut-takut untuk ‘all out’ dalam membuat persembahan.

“Saya sebenarnya seorang yang sangat over confident, kalau dulu tengok akak punya show, orang kata gelek apa lantaklah.

“Tapi now semua benda nak buat jadi takut, macam tersekat. Ye ke tak aku nak buat, benda tu yang tak ada.

“Arwah ada pesan dulu, hang adalah bapak, bapak adalah hang. Dulu ramai nak kami jatuh, ada tak suka ada yang nak pisahkan.

“Diorang tahu kekuatan kami bila kami bersama. Tapi bila now salah seorang takde, bapak cuma pesan, apa saja hang kena terus.

“Biar orang nampak hang adalah bapak, bapak adalah hang,” katanya.

Untuk rekod, Osman Naiyuni @ Maiyuni meninggal dunia pada 2010 akibat demam dan jangkitan kuman pada usia 55 tahun.

Sekadar info, konsert kedua Gegar Vaganza 8 (GV8) yang berlangung semalam menyaksikan kumpulan Nico G pula menjadi bintang yang berada di kedudukan terbawah dengan hanya memperoleh markah 52.9 peratus.

BACA : GV8: Tiada Penyingkiran! Nico G Tercorot, Aliff Aziz Juara Mingguan Lagi

Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

GV8 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Teruskan menonton GV8 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV8 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 15 November.

Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.