Hiburan
"Dulu Budak Nakal, Selalu Kena Denda Buka Kasut" - Ini 3 Sebab Elyana Selalu Berkaki Ayam
Bintang GV4, Elyana mendedahkan punca dia berkaki ayam setiap kali muncul membuat persembahan di pentas disebabkan kebiasaannya daripada zaman remaja.
Jelas penyanyi lagu Diriku Tapak Sulaiman itu, dia sering didenda tidak berkasut hingga menjadikan situasi itu alah bisa tegal biasa.
"Saya memang tak pakai kasut tumit tinggi sejak dari zaman sekolah lagi.
"Kalau nak tahu dahulunya saya budak nakal yang selalu kena denda berkaki ayam. Apabila sudah biasa, tapak kaki jadi macam sedap apabila pijak lantai.
"Lagi satu, kalau membuat persembahan saya akan mudah lupa kalau pakai kasut tumit tinggi dan akan jadi kurang yakin.
"Disebabkan itulah saya sering dimarahi pereka fesyen disebabkan postur saya tidak cantik apabila di pentas.
"Oleh kerana kebanyakan persembahan saya juga lincah, kasut tumit tinggi juga menyukarkan pergerakan saya," katanya memetik temubual bersama Mingguan Wanita episod Kasut Tumit Tinggi, Seksi Ke Seksa?
Dalam episod sama, Elyana mendedahkan situasi sebenar di karpet merah apabila dia hadir hanya berselipar jepun.
"Rahsia selama ini sebenarnya di sebalik dres panjang berjela itu, saya hanya berselipar jepun di dalamnya.
"Harus diakui ramai pereka fesyen merajuk dengan saya tetapi itulah keselesaan diri saya.
"Saya orang yang pakai mengikut keselesaan. Tetapi lama-kelamaan orang menjadikan kaki ayam itu trademark saya. Daripada kekurangan itu ada keistimewaan," tambahnya.
Disebabkan keenganannya memakai kasut, Elyana mengakui pernah terpijak dawai kokot di pentas hingga menyebabkan kakinya luka.
"Memang ada risikonya apabila berkaki ayam, antaranya pernah terpijak dawai kokot. Jadi, pakailah kasut," ujar Elyana.
Hadir sama pada episod yang dihoskan oleh Erra Fazira dan Siti Elizad itu Pakar Sendi Tulang & Pengurusan Tekanan, Dr. Shahnun Anwar.
Bagi yang terlepas, rancangan bual bicara Mingguan Wanita sudah mula bersiaran sejak 8 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).
Must-Watch Video