Tampil dengan genre muzik moden rock, enam anggota kumpulan yang digelar As-Sabil bergabung memperjuangkan konsep dakwah dalam lagu.

Salah seorang anggota dikenali sebagai Jojo yang bermain gitar memberitahu mereka bertemu satu sama lain dalam pementasan teater pada tahun 2012.

"Kesemua anggota pada ketika itu terlibat dalam sebuah pementasan teater disekitar Kuala Lumpur. Semenjak dari itu kami menjadi akrab dalam konteks teater tetapi pada masa sama tidak pernah mengetahui kebolehan dalam muzik sehingga pada tahun 2016 kami mula mengetahui yang antara kami semua ini boleh dan mahir dalam arena muzik," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, mereka mula aktif di dalam muzik tetapi secara 'underground' pada ketika itu. Pada awal tahun ini, mereka mula serius dalam muzik dan mengambil keputusan untuk muncul dalam industri muzik tempatan.

Jojo mengakui, nama kumpulan dipilih setelah perbincangan dilakukan dalam memilih konsep dan genre yang ingin diketengahkan.

"Secara kebetulan kami mempunyai minat atau fahaman yang sama. Jadi kami memilih konsep kerohanian dan genre moden rock sebagai perjuangan kami berdakwah dalam lagu serta cuba menjadikan konsep ini sebagai revolusi pada era ini.

"Atas alasan ini nama As-Sabil muncul dari salah seorang anggota kumpulan kami yang bermaksud 'perjalanan' di dalam bahasa arab. Setelah sebulat suara kami bersetuju untuk membawa nama As-Sabil sebagai simbol perjuangan kami," katanya.

Jelasnya, kumpulan ini cuba membuat cara baru dalam menyampaikan mesej kerohanian di dalam lagu.

"Di mana kami ingin menyampaikan mesej kerohanian, lagu-lagu berunsur nasihat dan muzik yang lebih dekat dengan golongan atau pendengar masa kini. Sasaran kami adalah golongan muda sehingga dewasa.

"Kami berharap agar usaha kami ini membuahkan hasil dan dapat diterima umum," katanya.

Selain Jojo, kumpulan dianggotai Reezal bermain dram, Anger (vokal), Eka (keyboard), Zamir (bass) dan Doddie (gitar).

Mereka muncul dengan album As-Sabil yang memuatkan enam lagu iaitu Seruan, Hakikat Insan, Penantian Harapan, Kasih, Fitna Sempurna dan Syukur.

Teks oleh: Elrafaei Sapi