Selepas berjaya memecah pelbagai rekod filem tempatan menerusi BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2), Animonsta Studios (Monsta) hari ini mengumumkan Power Sphera Universe (PSU) iaitu dunia berdasarkan siri BoBoiBoy.

Jika Marvel mempunyai dunia adiwira dikenali sebagai Marvel Cinematic Universe (MCU), maka PSU pula satu rangkaian yang menggabungkan pelbagai harta intelek daripada Monsta.

Pengawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak berkata, pengumuman ini adalah sebahagian perancangan Monsta untuk memperkenalkan lebih banyak watak intelek pada masa hadapan.

""Antaranya termasuklah BoBoiBoy, Mechamato dan adiwira baharu yang akan diperkenalkan kelak.

"Selain watak baharu, kami juga mahu tampilkan gaya penceritaan yang unik," katanya.

Menurut Nizam, selain itu juga pihak Monsta turut melancarkan komik terbaru mereka iaitu BoBoiBoy Galaxy musim kedua.

Jelasnya, komik yang bakal mempunyai 48 muka surat dengan ilustrasi berwarna ini akan dikeluarkan secara bulanan.

"Komik ini akan mengikuti pengembaraan BoBoiBoy selepas kemuncak final BBBM2. Selain itu pengeluaran komik ini juga sebagai tanda bermulanya SPU dalam dunia BoBoiBoy.

"Komik ini akan dipasarkan di pelbagai kedai serbaneka, kedai buku dan platform atas talian bermula 16 Mac 2020," katanya.

Nizam berkata demikian ketika majlis pelancaran Monsta : The Next Chapter yang berlangsung di Bangsar hari ini.