HIBURAN
Dyrga Dadali Terpaksa Jual Jam Tangan Mewah Harga RM260,000, Demi… – “Saya Rasa Nak Meninggal Juga Masa Itu…”
Selepas lebih sedekad mengukir nama sebagai kumpulan muzik pop melankolik paling dikenali di Indonesia, kumpulan Dadali nyaris terkubur selepas dua anggotanya, Rixx dan Yuda, meninggal dunia akibat COVID-19 pada Julai 2021.
Vokalis Dadali, Dyrga, mengakui bahawa semangat kumpulan itu runtuh sepenuhnya selepas kehilangan dua sahabat yang bukan sahaja teman seperjuangan, malah dianggap keluarga.
Paling mengejutkan, salah seorang anggota iaitu gitaris Rickarjd pernah menyuarakan hasrat untuk membubarkan kumpulan itu.
“Rickarjd cakap ‘kita bubar sajalah’. Masa itu semua dalam keadaan hancur. Tapi saya lawan. Saya kata jangan. Kita teruskan saja. Kita sahabat sampai mati… band ini bukan sekadar kerja, ini hidup kita,” kongsi Dyrga.
Bukan itu sahaja, tambah Dyrga, 44, kehilangan Yuda yang selama ini menjadi pencipta utama lagu-lagu hits Dadali benar-benar membuatkannya hilang arah dan semangat.
“Saya rasa nak meninggal juga masa itu. Saya pun kena COVID-19 waktu itu. Setengah hati saya dah mati. Saya fikir, macam mana nak teruskan tanpa Yuda?
“Kaki saya macam patah sebelah.
“Kalau rakan sekerja, habis kerja balik rumah. Tapi kami ni tidur sama, mandi sama, ke mana-mana bersama. Sudah macam keluarga,” ujarnya.
Namun sebelum pemergiannya, Yuda sempat meninggalkan ‘amanat’ kepada Dyrga agar menggantikan tempatnya dengan Boim, gitaris baharu Dadali.
“Yuda ada cakap, kalau jadi apa-apa, gantikan dia dengan Boim. Sekarang Boim yang buat nada, saya teruskan tulis lirik,”ujarnya.
Dyrga berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis Sidang Media Konsert Dadali - Sebuah Kisah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Perjalanan bangkit semula bukan semudah disangka.
Dadali mengambil masa hampir empat tahun untuk kembali membina momentum, malah Dyrga sendiri terpaksa mengorbankan harta bendanya demi kelangsungan kumpulan itu.
“Saya jual jam tangan Philip Patek saya. Harga asal 1 miliar rupiah (RM260,000), tapi saya dapat jual pada harga 1.7 billion rupiah (RM456,317). Duit tu saya guna beli makanan dan bantu anak-anak Dadali waktu pandemik.
“Ini rezeki Allah, saya kongsi. Yang penting, kami boleh terus hidup dan terus berkarya,” kongsinya lagi.
Konsert sulung di Kuala Lumpur
Menerusi perkembangan lain, Dadali bersedia mencipta sejarah baharu dengan penganjuran konsert sulung mereka di Kuala Lumpur. Konsert itu dijadual berlangsung pada 5 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
“Sejak saya masuk Gegar Vaganza, saya rasa Dadali perlu buat konsert di sini. Akhirnya doa kami termakbul,” kongsinya.
Lebih istimewa, konsert tersebut akan menampilkan Ronnie Hussein sebagai artis jemputan, menandakan persahabatan merentas negara hasil program realiti tersebut.
Must-Watch Video