HIBURAN
"Jaga SOP, Jangan Cium Anak Saya" - Nabila Razali
Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali memaklumkan bahawa dia dan suami, Nik Iruwan Nik Izani sudah bersedia menerima kehadiran para tetamu sempena majlis Akikah dan Kesyukuran anak sulung mereka yang dijadualkan berlangsung pada hari ini (7 Jun) di Franky Corner, Kota Bharu, Kelantan.
Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd Razali, 33, juga berharap agar majlis tersebut berjalan lancar dan segala urusan dipermudahkan.
Tambah pelantun lagu Peluang Kedua itu lagi, mereka telah menyediakan pelan alternatif sekiranya jumlah tetamu melebihi jangkaan.
“Seperti biasa untuk majlis akikah, kita akan tumbangkan dua ekor kambing. Selebihnya kita tunggulah harinya nanti. Bila kita berniat untuk mengadakan majlis, sudah tentu kita sudah bersedia. Jika pengunjung melebihi jumlah yang dijangka, kita ada ‘plan B’.
"Semoga apa yang kami sajikan itu mencukupi,” katanya ketika ditemui di program Road Tour Skor A+ SPM 2025 anjuran pusat tusyen PTTI di IDCC, Shah Alam pada Rabu.
Dalam masa sama, Nabila turut berkongsi bahawa wajah dan nama penuh anak sulung mereka akan didedahkan kepada umum buat pertama kali sempena majlis itu.
“Ini pertama kali saya akan menunjukkan baby M kepada orang ramai. Sebenarnya, saya dah lama merancang nak buat majlis akikah, cuma nanti orang lain yang akan kongsi gambar dia.
"Jadi saya rasa sebaiknya saya yang kongsi sendiri kepada siapa yang menantikan nak tengok gambar dan nak tahu nama penuh dia,” katanya.
Nabila turut menitipkan pesanan kepada para tetamu agar menjaga tingkah laku serta adab ketika berada di majlis tersebut, khususnya demi keselesaan dan kesihatan si kecil.
“Kalau boleh kita jaga SOP, tolong jangan cium anak saya atau buat perkara yang tidak sepatutnya. Saya harap tetamu yang hadir faham dan hormati permintaan saya. Saya hanya mampu berdoa agar semuanya baik-baik," tambahnya.
Pada Selasa, Nabila telah menjemput orang ramai untuk hadir ke majlis akikah anaknya di Kota Bharu, Kelantan.
Nabila dan Nik Iruwan telah berkahwin pada 18 November 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia 6 bulan.
Must-Watch Video