Penampilan bersahaja dengan punch line yang unik menyebabkan video-video yang dimuat naik oleh Imran Bard ke pelantar TikTok menarik perhatian ramai.

Tidak hanya mempamerkan lelucon secara spontan, Imran turut menjadikan platform digital sebagai medium untuk melampiaskan bakatnya dalam bidang kulinari.

Justeru, tidak hairanlah dalam masa yang singkat sahaja, Imran berjaya meraih lebih 300,000 pengikut di akaun TikTok dan lebih 200,000 pelanggan di saluran Youtubenya.

Berkesempatan berbual dengan Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin baru-baru ini, lelaki berusia 20 tahun itu berkata, dia tidak menyangka percubaan suka-suka memuat naik video di TikTok telah berjaya mencuit hati ramai orang.

“Pada awalnya, saya muat naik video di TikTok secara suka-suka selepas melihat banyak video rakan-rakan yang viral. Ketika mula ‘bermain’ dengan TikTok, video saya tidak dapat sambutan pun.

“Tapi entah macam mana pada pertengahan bulan Julai lalu, video-video saya mula viral dan jumlah pengikut pun bertambah,” katanya kepada Gempak.

Ditanya, adakah dia ada menerima tawaran untuk berlakon daripada mana-mana produksi selepas videonya viral, Imran berkata, buat masa ini dia masih belum menerima sebarang tawaran.

Namun, anak kelahiran Johor itu tidak menolak jika suatu hari nanti dia diberi peluang untuk bergelar sebagai seorang pelakon.

“Buat masa ini, saya belum menerima sebarang tawaran berlakon. Tetapi, kalaulah ada tawaran pada masa akan datang, saya tidak teragak-agak untuk terima.

“Saya memang suka berada depan lensa kamera. Dan kalau boleh, saya mahu membawakan watak antagonis,” kongsinya.

A post shared by MeleTOP (@meletop)


Menyentuh pula mengenai sound byte ‘Ghisau’ yang sedang galak digunakan ramai orang termasuk selebriti terkenal di TiktTok, Imran berkata, dia tidak menyangka perkataan tersebut boleh menjadi viral dan digunakan kebanyakan pengguna internet.

“Saya sendiri terkejut melihat sound byte tersebut viral dan digunakan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juga Fazura. Saya speechless! Tetapi, saya tetap hargai kesudian mereka menggunakan ‘suara’ saya,” katanya yang tidak kisah jika perkataan tersebut digunakan oleh orang ramai.

Sementara itu, Imran yang juga pelatih industri di sebuah hotel di Melaka berkata, dia menerima banyak nasihat daripada ibu bapanya selepas dia mula dikenali ramai.

“Pada mulanya, saya agak kekok juga dikenali ramai. Tetapi, lama kelamaan saya sudah boleh menerima dan berterima kasih kerana sudi mengikuti saya.

“Dalam masa yang sama, ibu bapa saya juga sentiasa berpesan supaya sentiasa berhati-hati baik dari segi percakapan dan perlakuan. Saya akan sentiasa mengingati pesanan mereka,” ujar pelajar kursus kulinari di Food Institute Malaysia, Petaling Jaya, Selangor itu.

Diminta untuk menitipkan pesanan buat peminatnya, Imran berkata: “Hati orang sentiasa berubah dan kita tidak boleh nak orang sentiasa suka kita. Apa yang saya nak kata terima kasih kerana sentiasa menyokong saya sehingga ke hari ini. Love yourself!” tutup Imran.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!