Pelakon dan selebriti Datin Paduka Eina Azman tampil membuat permohonan maaf selepas memuat naik foto ketika mendapatkan suntikan vaksin menjadi tular.

Eina menerusi laman sosial Instagram (IG)nya berkata dia tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti mana-mana pihak dengan memadam entri tersebut.

Ibu kepada dua orang anak itu turut menjelaskan sebab dia bertindak demikian.

Jelas Eina lagi, masalah kesihatan yang dihidapinya terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.

“Saya memohon maaf andai kata perkongsian saya di media sosial menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah pihak.

“Saya tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti sesiapa apatah lagi ketika isu vaksin menjadi perbualan hangat.

[[BACA: Eina Azman Dituduh Kayangan, Dapat Suntikan Pfizer?"]]

“Malah, pihak berwajib juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Saya sendiri mempunyai masalah kesihatan namun terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum dan hanya untuk pengetahuan keluarga saja.

“Justeru itu, saya memadam posting daripada paparan di Instagram bagi mengelakkan isu ini daripada bertambah rumit.

“Dengan rasa rendah diri, saya sekali lagi memohon maaf sekiranya video dan gambar yang dimuat naik menimbulkan salah faham…Assalamualaikum...,” katanya.

Entri yang dimuat naik pada jam 10 malam tadi (Khamis) turut mendapat lebih 5,000 tanda suka selepas dua jam dimuat naik.

Terdahulu nama Eina tiba-tiba menjadi perdebatan netizen apabila berkongsi proses suntikan vaksin dia dan suami di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak, Selasa lalu.

Eina dan suami turut menjadi mangsa kecaman netizen selain didakwa memotong giliran orang lain dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana merentas negeri.

Sehubungan itu, Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman menjelaskan pemberian vaksin kepada Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmit Abdullah, dibuat berdasarkan rujukan doktor pakar.

Dalam kenyataannya, Dr Abdul Malek menjelaskan Eina dan suami menerima vaksin di HRPB, Selasa lalu, berikutan masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka.

[[BACA: Tiada Isu Potong Giliran - KKM]]