Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Eksklusif! 4 jilid pertama novel “Cinta Hilang Kata”

Muhammad Ridhwan Roslan
26/07/2022 08:52 MYT

Eksklusif! 4 jilid pertama novel “Cinta Hilang Kata” kini boleh didapati di Gempak.com!



Sempena drama terbaru saluran Prima – “Cinta Hilang Kata” – yang bakal menemui anda pada 18 haribulan Julai, Gempak.com menghidangkan peminat-peminat novel dengan 4 jilid pertama novel ini.

Untuk pengetahuan semua, novel “Cinta Hilang Kata” merupakan sebuah novel dari tahun 2003 karya Lily Haslina Nasir, mengisahkan tentang seorang novelis bernama Nurul Masmin yang dipinta untuk berkahwin dengan lelaki pilihan ibunya – Amirul. Walaupun Nurul Masmin sudah berpunya, dia tetap akur. Rain Akhtar – kekasih Nurul Masmin di zaman university – terpinga-pinga selepas mengetahui nasibnya. Perkahwinan Nurul Masmin dan Amirul kemudian diduga dengan perasaan dengki pesaing Nurul – Sabirah dan Zaili – yang sanggup menghantar ilmu hitam kepadanya juga.

Drama “Cinta Hilang Kata” dibintangi Sophie Al-Barakbah sebagai Nurul Masmin, Shah Jaszle sebagai Rain Akhtar, Iqram Dinzly sebagai Amirul, Nelissa Nizam sebagai Sabirah serta Hariz Hamdan sebagai kembarnya; Zaili.

Drama yang bakal ke udara pada 18 Julai jam 6 petang di Saluran Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat, arahan Kyoll Hamzah.

Selamat membaca;

Prolog
Nurul Masmin & Rain Akhtar

Padi huma mari ditampi,
Usah ditampi di senja sepi;
Sudah kumakan sirih jampi,
Mengapa menangis dalam mimpi?

SYYY... Ini rahsia!

Jadi tutup bibirmu rapat-rapat kerana cerita yang pendek ini sebenarnya akan membuat engkau faham selepas ini kenapa aku begitu... kenapa aku begini...

Aku akan berbicara jujur tentang semuanya...
Tetapi bukan di sini.
Di sana sahaja...

Dalam catatan aku. Kadang-kadang memang aku akui. Sebagai penulis, aku banyak berlapik kata di blog aku. Cerita yang diluahkan sejujurnya cerita luka aku. Ya, kadang-kadang aku bersembunyi di sebalik nama. Aku katakan itu cerita orang, namun sebenarnya itu kisah sengsara diri sendiri.



Tiada siapa pun yang tahu itu catatan jiwa aku. Hah! Nama pun penulis. Bijak dan tangkas bermain kata, berselindung bicara. Tapi janji dulu, jangan sesekali engkau cerita pada sesiapa!
Tidak ada pengecualian. Jangan cerita pada teman-temanmu, ibumu, apalagi pada dia yang engkau kenali dan aku cintai. Rain Akhtar.

Jauhkan tanganmu daripada godaan menulis mesej tentang ini di wall akaun Facebookmu.
Kau tahu, cara terbaik untuk jatuh cinta, kekal mencintai... adalah mencintai dia seolah-olah kau belum pernah terluka sebelumnya. Kau cuba dahulu, kemudian kau akan faham apa maksud kata-kataku ini.

Ayuh, rapat ke sini. Kita diam-diam saja. Kerana aku akan membisikkan rahsiaku. Rahsia tentang hatiku, tentang aku, tentang dia yang aku cintai di dalam diam selama ini, tentang dia yang seorang itu... yang menghancurluluhkan segala rencana remajaku dan tentang mereka juga.
Kadang-kadang, kita mencintai seseorang begitu rupa sehingga tidak menyisakan tempat bagi yang lain. Membuat kita lupa untuk sekadar bertanya inikah sebenarnya cinta?

Seperti itulah dia. Errr... aku sebenarnya! Diam-diam menyenangi dan mencintai lelaki itu dengan seluruh jiwa dan aku menyimpan sakit tidak terperi saat harus mengharungi pernikahan dengan lelaki lain. Sedikit pun aku tidak berniat untuk menyimpan rasa kesal biar diri dikasari saat rahsia kerajaan hati aku diketahui suami.



Apa pun yang terjadi, aku tidak akan berhenti mencintai lelaki yang sekian lama menghuni hati ini dalam diam. Jangan bercakap perihal hukum pada aku! Ya, aku tahu bukan sedikit dosanya seorang isteri mencintai lelaki lain. Apatah lagi untuk waktu selagi Allah meminjamkan nyawa kepadaku. Tetapi cubalah bertanya, apa yang aku rasa tatkala diri dalam lingkung bahagia gembira, aku dipaksa bernikah.

Kalian boleh saja berkata semahunya. Aku tidak jujur. Aku tidak berterus terang. Mahu diberitahu apa jikalau rencana pernikahan itu aku tahu sekadar kurang tujuh hari selepas aku pulang ke rumah. Aku diberitahu hari Isnin dan hari Khamis malam aku dalam keadaan terpinga-pinga menerima salam seorang suami. Gerak hati yang diberi Allah pada dia sangat luar biasa. Bayangkan pada beberapa minit sebelum ijab kabul itu berlangsung, dia menelefon. Arwah emak menjawab langsung memberitahu

Aku? Tuhan sahaja yang tahu... Entah aku yang sudah tersurat takdir berasa luluh jiwa, atau entah dia yang sengsara.



Apa daya aku waktu itu... Usai pernikahan, aku langsung ke rumah orang tua lelaki asing yang bergelar suami. Perasaan aku? Sangat aneh.



Bermulalah episod hidup bagai dalam pelarian sebaik sahaja sang suami yang sangat mendominasi mengetahui semuanya. Dari satu tempat ke satu tempat aku terpaksa berpindah. Dari Lembah Pantai ke Bandar Tun Razak, sebelum ke Cheras dan langsung ke Wangsa Maju. Lelaki yang bergelar suami tatkala itu bagai mahu menyembunyikan aku jauh-jauh terpencil di sudut dunia daripada dia sebaik sahaja kisah persahabatan aku dengan dia diketahuinya.

Benar, mencintai sahaja tidak pernah cukup. Harus ditelan segala racun. Harus ditahan segala pedih. Kau tahu... bukan sekadar pedih dan sengsara hati, tetapi fizikal juga menjadi korban lima jari kasarnya. Kau akan mengerti maksud sengsara cinta apabila meredakan bulan-bulan awal pernikahan dengan air mata, dipukul semahunya kerana aku degil tidak mahu ada hati yang lebih terkorban.

Nah, siapa kata cinta itu sekadar cinta? Siapa bilang cinta itu sekadar mabuk asmara untuk si gadis yang usianya masih mentah? Apa perasaanmu seandainya beberapa hari selepas pernikahan, pulang ke Lembah Pantai, engkau tahu saban malam dia di muka pintu mengetuk memberi salam, mencari dan meminta penjelasan daripada aku?
Apa pula yang boleh aku lakukan waktu itu apabila aku terikat, lima jari hinggap di pipi dan aku cuma mampu membenam sedih pada hujung kamar. Tangisan dan esakan adalah sahabat aku yang paling akrab.

Apakah kau tahu, bagaimana perih rasanya berbahagi cerita, berbahagi hati?

Tahukah engkau sengsara rasa saling mencintai, dibatasi jarak waktu, namun akhirnya bertahan untuk tidak saling memiliki? Dan aku tidak terdaya menceritakan satu demi satu pada dia dan langsung membiarkan dendam itu menjadi dendam paling kejam yang manis.
Bukankah berdiam diri itu penawar terbaik? Bukankah pura- pura senyum dan bergelak ketawa itu satu terapi biar ini sebenarnya membunuh hati!

Bukankah memang begitu seharusnya cinta? Memberikan senyuman, bercanda gelak tawa, mesra bagai bahagia untuk mengaburi mata yang memandang.
Meski diam-diam hatinya basah dalam renyai hujan yang tiada penghujung. Aku yakin seperti itulah seharusnya cinta. Dalam desah angin, dalam lebat hujan, dalam biru langit, aku sebetulnya sering bertanya... seperti inikah cinta?

Hidup bukan syurga tetapi bukan juga neraka. Hidup bukan ruang sidang pengadilan tetapi bukan juga jalan lapang dengan langit biru terbentang. Ya, aku tahu... di luar sana ada lebih ramai mereka yang derita dan malang daripada aku.

Ya, ada ketika aku malu kerana masih mahu teresak, masih tidak mampu menyimpan gelora jiwa hingga aku menangis tanpa henti lewat hujung sejadah pada waktu dinihari. Cubitan Allah SWT sekadar cubitan kasih namun aku nyata insan yang lemah masih mahu membiarkan hati ini terus renyai dengan air mata.



Terlalu banyak cerita kalau mahu dikata, terlalu banyak jua kerikil yang dilalui sebelum aku berada di sini. Entah... kadang-kadang terfikir, Allah menguji sebab aku mampu melaluinya. Dan, ya... akulah dahulu gadis angkuh yang selalu menyebut aku mampu hidup tanpa lelaki. Dan, aku juga dahulu perempuan si hati batu yang tidak mudah tunduk pada lelaki.

Cuma... ya... pada dia... entah kenapa aku sangat menyenanginya. Ya, benar, teman aku sangat ramai. Surat-surat yang disimpan boleh dikumpul sehingga memenuhi lima kotak besar, hadiah dan pemberian mereka yang mahu membeli cinta, mengambil hati, juga ada ketika aku sedekahkan sahaja pada rakan serumah.

Tapi percayalah, itu semua belum tentu mampu mencairkan jiwa aku.

Dan, ya... mengapa aku menjadi Puan Nurul Masmin pada usia 21 tahun, tatkala masih berkuliah... akan aku beritahu kelak. Cuma sesekali aku berasa terpaksa menelan segala sumpahan karma ini kerana keangkuhan kata-kata aku suatu ketika dahulu.

Hmmm, dia sendiri secara tidak sengaja menyebut dan berpesan... jangan cakap angkuh! Jangan takbur! Errr... aku tidak pasti, apakah dia sememangnya mengikuti segala kisah nurulmasmin.blogspot.com atau semua nasihat itu secara kebetulan. Sebagaimana secara kebetulan aku membalas e-melnya yang kadangkala bertalu-talu hadir.
Nantilah... akan aku ceritakan sedikit demi sedikit.

Teruskan membaca di link di bawah, hanya di Gempak.com;

Link ke JILID 1

di sini

Link ke JILID 2


Link ke JILID 3


Link ke JILID 4



Selamat membaca!

Tayangan Perdana “Cinta Hilang Kata” boleh ditonton disini!;

#Novel #Astro Prima #Shahz Jaszle #Iqram Dinzly #Tiara #Nelissa Nizam #Cinta Hilang Kata #Sophia Albarakbah
;