Laman Utama
Cinta Hilang Kata - Prolog | Bab 4
4 Amirul & Jah Gayah
TAHUN SILIH BERTUKAR musim bunga. Usia remaja semakin manis dan ranum mengait kembang awan. Nurul dalam diam merealisasikan mimpi. Mencari kepuasan jiwa di puncak menara ilmu. Dunia penulisan yang saling mengerti dengan tatacaranya yang pendiam dan suka mengamati, menjadi pilihan utama di Universiti Malaya. Nurul dapat membayangkan, minat yang tertumpah, cinta yang luar biasa pasti akan lebih berkilau menentang keranjang kegelapan kalau diasuh dengan tertib ilmu. Biar papa memujuk, biar emak berkempen, cubalah teruskan dalam aliran sains namun tiang cintanya kukuh, pasak kasihnya teguh. Dia tetap memilih dunia Pengajian Media yang menjurus pada Penulisan Kreatif. Namun Nurul tidak pernah terfikir hatta mahu mengambil tahu, di puncak menara ilmu itulah, takdirnya akan bertitik tolak.
“Mak, Nurul masuk UM jugak ya?”
“Nurul? Masuk UM?”
“Mak tak tahu ke? Uncle Zali dengan Auntie Azmeena tak ada beritahu mak ke?”
“Tak sebut apa pun. Mana Mirul tahu?”
“Alah, biasalah. Mirulkan sekarang ni tengah sibuk uruskan kemasukan budak-budak baru. Tengah sibuk nak agih-agihkan nama junior pada senior. Nak buat kumpulan sukanlah, nak buat group qiamullail. Masa tengah sibuk-sibuk key-in nama budak baru yang nak daftar minggu depan, alih-alih ternampak nama Nurul.”
“Yelah kut. Alah, Nurul tukan sejak sekolah dah berangan nak jadi penulis. Masa kecik dulu pun suka duduk memerap sorang-sorang belakang pintu bilik. Berangan aje kerja dia tu. Mirul takkan tak ingat?” Mak Jah terkejut mendengar khabar yang dibawa oleh Amirul.
“Mak dah lama tak jumpa Nurul ke? Tak terserempak kat surau ke, kat kenduri ke?” Amirul bertanya khabar.
Sejak mereka semakin remaja dan dewasa, sudah semakin jarang bertentang mata. Biarpun Auntie Azmeena selalu meminta tolong Amirul bila Uncle Razali tiada di rumah, kelibat Nurul memang tidak pernah dia nampak. Setiap kali ditanya keberadaan Nurul, tentu jawapan Auntie Azmeena, Nurul menaip di dalam bilik. Kalau terserempak di dapur tatkala gadis itu membancuh minuman untuknya, payah sungguh untuk mendengar suara gadis itu. Mereka hanya bertukar senyum dan angkat kening. Kemudian Nurul akan cepat-cepat masuk ke bilik.
“Mana ada jumpa dia. Jarang dia tu keluar rumah. Bila papanya selalu outstation, mak dia pulak selalu sakit-sakit, dia memang tak ke mana. Memerap dengan komputerlah tu!” Jah Gayah membuat andaian.
“Patut jarang nampak. Kalau nampak pun, dia tu macam patung cendana, suara haram tak keluar. Harapkan Auntie Azmeena aje yang okey dengan Mirul. Nurul tu muka memang kekwat. Serius, diam, macam sombong,” rungut Amirul bila mengenangkan Nurul yang dikenalinya sejak kecil dahulu. Dia tidak menyangka Nurul dalam diam memohon masuk Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.
“Mirul tak salah orang ke? Manalah tahu kut orang lain ke?” Jah Gayah seperti tidak percaya sebenarnya dengan apa yang dia dengar itu.
“Apa tak betulnya, mak. Dah nama Uncle Zali sama Auntie Azmeena tu nama yang ada dalam borang kemasukan Nurul kat jabatan. Alamat pun alamat sini. Mana ada Nurul Masmin yang lain pulak kat sini...” sanggah Amirul yang memang sangat yakin gadis itu akan menjadi super juniornya di jabatan.
“Kalau betul macam Mirul cakap... jaga dia baik-baik. Jaga Si Nurul tu kat sana.” Jah Gayah sudah tersenyum-senyum sendiri. Sudah terbentang perancangan yang sangat indah buat masa depan dia dan Amirul. Semuanya meluncur turun dari langit ketujuh. Hati Jah Gayah yang sekian lama mendung dan memendam rasa bercahaya kembali.
“Apalah mak ni. Anak orang tu... anak dara orang! Apa hal Mirul nak sibuk-sibuk jaga dia. Bukan bini Mirul pun. Mak bapak dia hidup lagi. Lainlah Mirul. Abah pun dah tak ada.” Pangkah Amirul yang sebenarnya tidak mampu lagi menyaring makna kata-kata Jah Gayah.
“Kau ni memang budak setengah masaklah! Sia-sia masuk universiti. Benda macam ni pun kau tak faham,” sindir Jah Gayah dengan muka garang sambil memandang tajam ke arah Amirul yang sedang sibuk menghadap komputer.
“Mak cakap apa ni? Apa mak merepek ni? Tadi mak sebut pasal jaga Si Nurul. Hesy perempuan muka cengil tu, senyum dengan Mirul pun dia tak mau, nak suruh Mirul jaga anak rimau tu! Ni mak kata Mirul budak setengah masak pulak. Apa ni, mak? Mak cakap berbelit-belitlah!” Amirul tergelak-gelak sambil menggeleng. Pada usia begitu, ada waktu dia tidak begitu hiraukan bebelan ibunya.
“Perlahan betul otak kau tu! Macam otak siput. Tak pandai nak tangkap maksud orang tua.”
“Mak nak suruh Mirul buat apa ni mak? Cuba cakap bagi jelas!” Sisa gelak Amirul masih ada. Dada Jah Gayah terbakar melihat telatah anaknya itu.
“Aku ni nak bagi kau senang! Mak Si Nurul tukan suka kat kau. Sayang kat kau. Sikit-sikit telefon kau. Bateri kereta padam cari kau, tukar mentol kat bilik stor pun cari kau. Suruh bawakkan ke klinik pun kau. Kan senang kalau kau jaga Nurul dekat kampus. Orang kata pancing siap-siap. Nurul tu kau pun kenal sejak dia menyusu lagi. Membesar pun bersama. Mak yang suap dia makan. Tangan mak ni yang mandikan dia. Apa salah kalau dia jadi menantu mak! Kau jugak yang senang. Nurul tu anak tunggal, berharta mak bapak dia. Budak Nurul ni sendiri pandai cari duit. Sejak sekolah dah pandai menulis, dapat duit royalti sendiri. Bila lagi kita nak tumpang senang.” Lancar sahaja Jah Gayah membentangkan cadangannya.
“Hish, mak ingat dia tu anak kucing ke? Kalau anak kucing, campak ikan, umpankan Friskies, senang cerita. Dia tu macam anak rimaulah mak! Garang, kepala batu, kuat berangan! Hish tak kuasalah!” Amirul pantas memangkah hajat ibunya.
“Aku bukan nak suruh kau bernikah sekarang. Kau pun belum habis belajar. Ni aku cerita lepas kau habis belajar. Jadi bila Nurul kat universiti nanti, kau buat baik dengan dia. Jaga dia macam kau jaga bakal bini kau. Alah, kita bukan niat tak elok. Kita niat nak jadikan dia ahli keluarga kita.” Begitu yakin sekali Jah Gayah dengan cita-citanya itu.
“Mak ni, amboi...! Sedapnya cakap nak jadikan anak rimau tu ahli keluarga kita, ya? Dia mahu ke? Belum tentu dia nak.”
“Dia tu anak emak. Ikut cakap emak dia. Kau pulak kesayangan mak dia! Apa susahnya? Bebal betullah kau ni, Mirul. Kau ikut cakap aku. Bila dia dah masuk sama tempat belajar dengan kau, perhatikan dia dari jauh. Jangan bagi orang lain masuk jarum. Esok lusa yang senang kau jugak! Bukan mak!”
Melihat muka Amirul yang tersengih-sengih kambing itu, Jah Gayah terasa mahu mengambil periuk belanga dan kuali lalu dilesingkan ke anaknya. Macam mana la anaknya ini boleh masuk universiti dengan pick up lembap mengalahkan siput ni...
“Aku cakap bersungguh ni. Kau ingat aku buat kelakar ke? Budak Nurul tu membesar dengan kita sejak kecik. Umur setahun lebih sampai dia sekolah, dia dengan kita. Apa masalahnya kau tak boleh buat dia bini kau? Kita ni lebih kenal Nurul Masmin kalau banding orang lain di luar sana tu!” Leteran Jah Gayah tetap disambut senyum manis oleh Amirul.
“Nak jaga dia? Huh, tak kuasalah! Dah tua bangka! Budak perangai pelik. Suka duduk diam-diam berangan! Tapi kalau nak buli dia... hmmm bila-bila boleh, mak.”
“Kau janganlah buat dia takut. Janganlah buat dia benci kau! Mak dia dah memang suka kau sejak dulu. Memang dah anggap kau tu anak dia. Bodohlah kalau kau sia-siakan peluang.” Langsing suara Jah Gayah. Huh, janganlah Amirul terlepas peluang luar biasa ini.
“Sebab kenal sejak kecik, mana boleh bercinta, mak! Gelilah! Nak pulak teringat dia kuat melalak, kuat merengek dulu. Huh, rimaslah!”
“Alah, kalau nak tunggu cinta, lepas kahwin boleh cinta. Esok lusa kalau dapat tidur atas duit Tuan Zali, dapat pegang duit gaji Si Nurul, dapat cekak duit royalti Si Nurul, jangan kau jadi lupa diri. Kalau tak, lepas dia besok!” sindir Jah Gayah yang faham benar perangai anak bujangnya itu.
Amirul terangguk-angguk nakal. Perlahan-lahan kepalanya bagaikan telah ditumbuhi tanduk.
“Okey... okey... mak jangan bimbanglah! Mirul akan pastikan tak ada siapa boleh cuit Si Nurul tu nanti. Hah, mak boleh tabung duit dari sekarang. Mirul tak mampu nak bayar hantaran mahal-mahal. Anak rimau Uncle Zali entah berapa hantarannya. Mirul laparlah mak, nasi ada lagikan?” Jah Gayah mengetap bibir geram. Dia tahu Amirul tidak pernah menghampakannya, tetapi untuk niatnya yang satu ini dia tidak pasti. Dia akur bahawa cerita tentang hati dan perasaan dia tidak mampu memaksa. Namun jika Amirul masih menjadi anak yang taat, dialah ibu yang paling bahagia dan akan sentiasa mendoakan syurga buat anak lelakinya itu.
“Huh, tak dapat bapak dia, dapat dia buat menantu pun jadilah!” omel Jah Gayah antara sedar dan tidak.
“Mak cakap apa mak?” sampuk Amirul tiba-tiba sambil menatang pinggan nasi ke ruang tamu.
“Tak ada apa... Si Nurul tu, kesian. Bapak dia asyik sibuk aje. Makin tua makin kerap ke luar negara. Tu yang mak dia tinggal sorang diri.” Pantas dia berlapik. Amirul mengangguk. Setuju dengan kata-kata ibunya, namun dalam hati masih terdetik. Apa agaknya ya, akan aku buat untuk meraikan Nurul di kampus? Hmmm, perempuan yang bisu itu. Harus dibuat sesuatu untuk mencairkan hatinya. Biar dia faham kelak adab dan tertib hidup apabila ada senior di bawah satu bumbung.
Amirul sudah senyum-senyum sendiri
Must-Watch Video