Pelakon Fahmy Reza atau nama sebenarnya, Sheikh Zulfahmy Reza Sh Ab Ghani, 29, enggan dirinya dikenali kerana rapat dengan usawahan kosmetik popular, Joy Revfa.

Mengakui sedang menyelami hati budi Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 32, Fahmy sedar dirinya tidak terkenal seperti pelakon popular lain dan mahu menyerlah menerusi bakat lakonannya.

BACA: "Saya Dah Kenal Lama Dengan Dia, Tapi..." - Fahmy Reza Akui Rapat Dengan Joy Revfa

"Sejujurnya, saya kurang selesa mahu bercerita mengenai hal peribadi. Cukup sekadar orang tahu saya sedang mengenali hati budi Joy.

"Saya tak mahu nama saya lebih dikenali menerusi cerita peribadi atau kerana Joy. Saya mahu dikenali dengan lakonan dan saya masih berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi menyerlahkan bakat saya," kata Fahmy kepada Gempak.

Tambah Fahmy, dia kini bergerak sendiri selepas kontraknya bersama syarikat pengurusan MIG tamat.

"Setakat ini, saya tidak bernaung dengan mana-mana syarikat pengurusan dan baru bertatih untuk menguruskan kerjaya sendiri selepas kontrak bersama MIG tamat.

"Hubungan saya masih baik dengan MIG dan silaturahim antara kami masih terjalin. Cuma, saya mahu belajar bergerak sendiri dan menimba banyak pengalaman dalam industri seni," katanya lagi.

Fahmy mula menceburkan diri dalam bidang seni semenjak 2014 dan pernah membintangi beberapa filem seperti Banglo Berkunci, Keranda Tok Wan Terbang dan drama bersiri seperti Dia Semanis Honey, Kerana Syurga Bukan Percuma dan banyak lagi.