Atas permintaan ramai, penyanyi handalan, Ernie Zakri akan membuat kemunculan semula dalam Konsert Patah Hati 2.0 yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November ini.

Lebih menarik lagi, Ernie akan turut ditemani pasangan duetnya yang ideal yang juga suaminya, Syamel.

Perkara ini telah disahkan oleh penganjur, ANS Diversified Sdn Bhd, hari ini selepas Ernie &, Syamel bersetuju menandatangani kontrak, baru-baru ini.

"Berita baik buat semua peminat Ernie & Syamel kerana mereka berdua akhirnya bersetuju menyertai Konsert Patah Hati 2.0 kerana Ernie baru saja selesai rakaman album penuhnya, Aura.

"Sebelum ini Ernie tidak dapat memberikan kepastian kerana jadualnya terlalu padat. Namun atas permintaan ramai peminat daripada Konsert Patah Hati yg pertama dulu dan kebetulan Ernie telah selesai rakaman album penuhnya, maka dapatlah dia terbabit kembali dengan Konsert Patah Hati 2.0. Lebih menarik, kami turut mengundang Syamel bersama-sama," kata Pengarah Konsert, Ahmad Faizal Zulkifli.

Di sebalik berita gembira penambahan artis yang bakal beraksi pada 23 November ini, Faizal berkata pihaknya dimaklumkan bahawa kumpulan Bunkface pula terpaksa mengundurkan diri daripada Konsert Patah Hati 2.0 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Pihak kami memohon jutaan maaf kepada semua peminat di atas apa yang berlaku kerana ia sangat di luar jangkaan.

“Pun begitu Konsert Patah Hati 2.0 tetap diteruskan juga dengan menampilkan artis lain yang telah bersetuju iaitu Naim Daniel, Aisha Retno, Nadeera, Neeta, Ismail Izzani serta Ernie Zakri & Syamel," katanya.

Mengenai konsert sekuel Patah Hati 2.0, Faizal berkata, ia mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia melalui MyCreative Ventures, bakal menonjolkan tema Neon bagi menyemarakkan lagi suasana pada malam persembahan itu nanti.

“Tema Neon dipilih kerana ia menggambarkan cahaya indah, kepelbagaian rona serta keunikan genre-genre muzik yang ditonjolkan artis dalam konsert kali ini,” katanya.

Tiket-tiket Konsert Patah Hati 2.0 kini masih dibuka dengan tawaran istimewa 50% boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my.

Berikut adalah harga tiket terkini:

RM99 (Malam Ini Kita Punya)
RM135 (Luar Biasa Sakit)
RM149 (Purnama)
RM2,999 (VIP Box)

BERITA TRENDING: “Thank You So Much Sayang…” - Ernie Zakri Tak Sangka Dapat Tonton Konsert Beyonce, Paling Special Pergi...