Ezad Lazim Akui Masih Ada Penyanyi Seangkatan Yang Terima Bayaran Nyanyian Ciput
Penyanyi popular, Ezad Lazim mengakui yang masih ada segelintir penghibur 90-an yang menerima bayaran yang sedikit untuk persembahan.
Ujar Ezad, hal itu masih lagi terjadi dalam kalangan penyanyi mungkin disebabkan beberapa faktor, termasuk populariti artis yang barangkali telah menurun.
“Sebenarnya, benda macam ni kena tengok penganjur dan juga permintaan yang ada. Macam kita beli barang… bidang nyanyian ni macam produk yang dijual.
“Dan seharusnya kita kena tengok permintaan terhadap sesetengah artis itu dan bergantung juga pada berapa bajet penganjur.
“Saya akui masih ada segelintir artis yang hanya dapat bayaran ratusan ringgit walhal dia terkenal dan mempunyai banyak lagu yang hits,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Ezad berkata, isu mula timbul bila sesetengah artis menerima tawaran dengan bayaran berupa ratusan ringgit kerana sudah lama tidak menyanyi.
“Ada juga yang sudah lama tidak keluar TV dan ada juga yang tiada tawaran langsung. Jadi isu akan mula timbul sebab mereka akan ambil sahaja berapa bayaran yang ditawarkan. Kiranya lebih baik ambil daripada tiada show.
“Jadi, sebab itu kebanyakan penyanyi sekarang cuba untuk jenamakan semula imej mereka agar terus kekal relevan dalam kalangan peminat.
“Sebab imej serta personaliti memang banyak membantu dalam menaikkan seseorang artis. Saya sendiri berasa bersyukur kerana masih belum pernah berdepan dengan isu seperti ini,” katanya lagi.
Ezad menambah, dia boleh bertolak ansur mengenai soal bayaran jika ia melibatkan persembahan tertentu.
“Bergantung juga… Bagi saya kalau ia melibatkan persembahan amal, untuk bantu dana sekolah, dan kebetulan saya ada kelapangan, okey sahaja,” katanya lagi.