Aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin atau dikenali sebagai Fahmi Reza hari ini ditahan kerana dipercayai memuat naik karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning di Facebooknya semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata Fahmi Reza ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang tadi.

Beliau berkata polis akan memohon perintah reman di mahkamah esok.

“Hantaran berkenaan telah mengundang kemarahan masyarakat yang menyifatkannya sebagai keterlaluan. Ia telah mendapat 12,000 respons termasuk 3,400 komen dan dikongsikan sebanyak 966 kali sejak dimuat naik.

"Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut," katanya dalam kenyataan semalam.

Abd Jalil berkata kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Orang ramai digesa supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak serta prihatin terhadap isu-isu sensitif yang menyentuh institusi diraja, sensitiviti agama dan kaum agar tidak menggugat keharmonian negara," katanya.

Sumber: Bernama