Farid Kamil Rindu ‘Bau’ Keluarga, Dah Lama Tak Bertemu Dengan Anak-Anak – “Hubungan Saya Dengan Isteri...”
Farid Rindu Bau Keluarga
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 44, mengakui terbit perasaan rindu terhadap ahli keluarganya itu seperti meluangkan masa bersama.
“Saya rindu bau keluarga. Bau keluarga ini kan sesuatu yang kita akan rindukan.
“Selain itu, kenangan bersama, anak-anak dan isteri.
“Bercuti bersama juga mungkin sesuatu yang dirindukan,” kongsinya kepada pemberita.
Farid ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Hukum Kifarah di sebuah hotel malam tadi.
Doa Temui Semula Kebahagiaan
Kongsi bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, dia banyak berdoa agar dapat menemui semula kebahagiaan yang pernah digenggam dahulu.
“Setiap kali terbit perasaan rindu saya memperbanyak istighfar. Bila istighfar, insya-Allah hati akan rasa tenang dalam apa jua keadaan.
"Pada saya, di dalam situasi sekarang tiada senjata, bahan atau warna yang boleh menyampaikan hasrat saya ketika ini melainkan doa.
"Saya tidak berhenti berdoa agar suatu hari nanti keluarga saya kembali berbahagia seperti dulu insya-Allah… itu harapan saya," katanya.
Sudah Lama Tak Jumpa Anak-Anak
Dalam pada itu, Farid memaklumkan dia sudah lama tidak bersua muka dengan Diana, malah tidak berkesempatan untuk bertemu anak-anak.
“Hubungan saya dengan isteri dan anak-anak masih sama seperti dulu. Apa yang saya boleh katakan, saya dalam perjalanan untuk memperbaiki diri. Saya akan cuba menempuhi masalah di depan dengan penuh reda dan persiapan.
"Walaupun dalam keadaan tidak begitu baik, tetapi saya tetap cuba berdoa untuk mendapatkan kebaikan. Saya masih lagi dalam proses untuk berjumpa dengan isteri.
"Kali terakhir jumpa anak tahun lalu, sudah lama tak jumpa. Bukan tak boleh jumpa, tak ada masalah dan juga halangan. Tapi, ketika ini saya perlu berjalan seorang diri untuk mendapatkan apa yang dicari.
"Saya dan anak-anak memang selalu berhubung menerusi panggilan telefon, cuma kalau berjumpa, tahun ini masih belum," ujarnya lagi.