Farid Kamil Tolak Tawaran Jadi Tenaga Pengajar, Kembali Jadi 'Student' Mac Depan - “Saya Perlu Rahsiakan Terlebih Dahulu Sebab…”
Sambung Pengajian Peringkat Tinggi
Menurut Farid, dia bakal menyambung pengajian sekiranya permohonannya diterima.
“Untuk 2025 ini saya akan kembali menjadi pelajar. Saya akan meningkatkan pelajaran saya ke peringkat ijazah sarjana dan seterusnya ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Permohonan untuk melanjutkan pengajian itu sudah berjalan yang mana saya kemukakan permohonan di Universiti Malaya.
“Kalau tiada halangan saya akan mulakan pengajian pada Mac depan. Pendaftaran sudah dibuat, tapi saya perlu rahsiakan terlebih dahulu mengenai bidang pengkhususan pengajian yang akan diambil.
“Ini kerana, ia masih lagi dalam permohonan. Sekiranya sudah diterima masuk saya akan uar-uarkan,” katanya kepada pemberita.
Anggap Diri Ketinggalan
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkongsi dia mendapat inspirasi selepas menghadiri Program Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.
“Bila duduk dalam program itu ada yang seusia, lebih berusia dan lebih muda. Kebanyakan mereka mempunyai ijazah sarjana dan PhD, tetapi hanya sahaja dengan ijazah sarjana muda.
“Selepas balik daripada program itu, saya fikir sudah agak ketinggalan banya perkara dalam hidup yang sepatutnya saya capai lebih awal, tetapi saya memilih untuk menjadi pelakon profesional terlebih dahulu,” katanya.
Tolak Tawaran Jadi Pensyarah
Dalam pada itu, Farid juga terpaksa menolak tawaran untuk menjadi tenaga pengajar di satu universiti swasta tempatan kerana menganggap dirinya masih belum layak.
“Saya sudah ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar kelas lakonan di satu universiti swasta tempatan.
“Tapi, saya fikir masih belum mampu untuk memberikan ilmu pengetahuan secara spesifik kepada pelajar.