Fesyen Streetwear Jepun Mendarat Di LaLaport! Ini Port Patut Korang Singgah
Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-3 pada Januari 2025, pihak Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Center (BBCC) telah memperkenalkan pengalaman menarik kepada orang ramai untuk merasai suasana membeli-belah seperti di negara Matahari Terbit.
Antara yang mendapat perhatian ramai ialah fesyen dari Jepun, yang sememangnya terkenal dengan gaya unik dan streetwear yang tersendiri.
Fesyen Streetwear untuk Anak Muda
Tambahnya, ia memberikan peluang kepada peminat fesyen untuk mengalami sesuatu yang baru dan berbeza dalam dunia fesyen.
“Gaya streetwear dari Jepun terkenal dengan reka bentuk yang unik, inovatif, dan mencerminkan identiti anak muda yang kreatif.
“Membawa gaya ini ke Malaysia memberikan peluang kepada peminat fesyen tempatan untuk merasai pengalaman membeli-belah yang baru dan berbeza, sambil menonjolkan nilai budaya moden Jepun yang sesuai dengan trend global,” katanya kepada Gempak.
Penerimaan Fesyen dari Jepun
Bagi Nelsen Ng, usaha membawa budaya Jepun ke Malaysia bukan sahaja memenuhi minat rakyat tempatan, tetapi juga berpotensi memperkukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
“Penerimaan rakyat Malaysia terhadap fesyen Jepun merupakan salah satu sebab utama. Budaya Jepun, termasuk fesyen, anime, dan pop culture, telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda.
“Membawa jenama terkenal dari Jepun ke Malaysia adalah langkah untuk memenuhi permintaan ini sambil memperkukuhkan hubungan budaya antara kedua-dua negara,” jelasnya.
Antara jenama pakaian Jepun yang dibawa masuk ke LaLaport BBCC adalah Comcoca, 9090, Younger Song, Wego, dan Nautica.jp.
Kesemua kedai eksklusif ini dibuka buat kali pertama di luar Jepun dan menjadikan LaLaport BBCC sebagai destinasi pertama mereka di Malaysia.
Selain fesyen Jepun yang menjadi perhatian ramai, Animate Malaysia Pop-Up Store dari Jepun juga menjadi tumpuan para peminat anime, di mana mereka membawa semua koleksi anime dan manga kegemaran ramai ke LaLaport BBCC.