Viral
Peniaga Pisang Goreng Sebak Mengaku Bersalah Bakar Motosikal
Peniaga pisang goreng mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Taiping, Perak, hari ini atas dakwaan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar motosikal di Pokok Assam, minggu lalu.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim yang menetapkan tarikh 14 Januari depan untuk hukuman dijatuhkan sementara menunggu fakta kes.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan khianat dengan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan harta berupa sebuah motosikal jenis Honda RSX bernilai RM7,000.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Masjid, Pokok Assam, 3.50 petang 26 Disember lalu.
Kesalahan dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Terdahulu, tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa dari lokap ke mahkamah menuju kamar bicara serta turut dilihat sekali lagi sebak ketika membuat pengakuan dalam kandang tertuduh.
Beberapa ahli keluarga tertuduh yang menghadiri perbicaraan itu turut dilihat sebak sebaik tertuduh membuat pengakuan salah itu.
Muhammad Fahmi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu bagi kes itu sehingga kes selesai.
Nabiha menetapkan jumlah jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu bagi kes itu sehingga kes selesai.
BERITA TRENDING: Pemandu Mercedes Tular Langgar Penunggang Motosikal Ditahan
BERITA TRENDING: Berang Dipecat, Bekas Pekerja Bakar Pejabat
BERITA TRENDING: Bakar Suami Selepas Periksa Akaun Bank Berkurangan
Sumber: Harian MetroMust-Watch Video