Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Filem Dicetak Rompak & Dimuatnaik Di TikTok, Penerbit Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang

Amri Hassan 28/12/2024 | 05:30 MYT
Penerbit filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, D’Ayu Pictures Sdn Bhd meluahkan rasa kesal apabila ia dicetak rompak dan dimuat naik serta tersebar di laman aplikasi TikTok.

BERITA TRENDING: “Bila Dengar Ia Seakan Merasuk Kita” - Zahiril Adzim

Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali berkata, pihaknya kesal dengan sikap segelintir individu yang sanggup merompak hasil penat lelah orang lain demi tujuan atau kepentingan tertentu.
“Filem ini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 15 Februari 2024 yang lalu dan juga memasuki pasaran Asia Tenggara dengan sambutan hebat di Kemboja.
“Setelah selesai tayangan pawagam, filem ini mula diedarkan ke platform tv seperti Astro First dan Netflix. Namun, saya kesal apabila filem ini telah dicetak rompak individu tidak bertanggungjawab dan memuatnaik di TikTok dan mereka ini lebih dikenali sebagai Penjenayah Digital,” ujarnya.
Menurut Azaromi, salah satu media sosial yang dikesan ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan 1.1 juta jumlah tontonan.
Jelasnya lagi, ramai yang ingin menonton secara percuma, tetapi tanpa mereka sedari yang perbuatan itu seumpama sedang bersubahat dengan penjenayah yang menjalankan kerja-kerja cetak rompak digital ini.
“Jika 1.1 juta ni pergi menonton di pawagam, dengan pembelian tiket RM20 pastinya kutipan kasar filem ini adalah RM22 juta.
“Saya sedar bukan mudah untuk memuaskan hati penonton di pawagam dan sudah pastinya bukan boleh dipaksa untuk mereka keluar beli tiket dan menonton di pawagam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Azaromi memaklumkan dia telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit.
Sementara itu, Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, berkata beliau menyokong tindakan melaporkan segala kegiatan jenayah digital yang mencuri hak milik syarikat.
Beliau menyatakan bahawa dirinya sangat terkejut setelah dimaklumkan mengenai cetak rompak digital ini.
“Memang saya menyokong tindakan Azaromi sekaligus menjalankan tanggungjawabnya sebagai CEO D’ Ayu Pictures menjaga kepentingan syarikat.
“Saya harap tindakan kali ini memberikan pengajaran buat semua agar ia tidak berulang lagi di dalam industri filem Malaysia,” tegasnya.

BERITA TRENDING: "Balik Jer Tidur Mesti Kena Tindih, Sampai Tak Boleh Bernafas" - Elvina Mohamad

BERITA TRENDING: Elvina, Zahiril Nampak 'Benda' Ketika Shooting Filem Waruga!

Untuk makluman, kerajaan telah meluluskan rang undang-undang menambah baik Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang mencadangkan mana-mana individu atau perniagaan yang melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman akan dihukum oleh undang-undang.
Pindaan baharu itu memperkenalkan hukuman bagi kesalahan berkaitan teknologi penstriman dan mereka yang didapati bersalah akan didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
#Viral #Penerbit #Polis #Cetak Rompak #TikTok #Waruga
;