Perkataan ‘Waruga’ mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun ia bermaksud tempat persemadian mayat atau makam (kubur) orang yang meninggal dunia bagi kaum Minahasa yang wujud di Indonesia.

Mengikut kepercayaan Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadikan di dalam Waruga dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad berkenaan akan dilahirkan semula pada masa akan datang.

Melihat kepada keunikan kepercayaan tersebut, ia telah memberi ilham kepada D’ Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Waruga - Kutukan Ilmu Hitam.

Pengarahnya, Azaromi Ghozali atau Romi berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula dengan penceritaan seorang penulis bernama Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno berkenaan.

“Pada masa sama, saya turut mempunyai sebuah idea cerita seram yang berkait dengan ilmu hitam dan pemujaan mayat, secara tak langsung ia berkait dengan tentang kepercayaan kaum Mihanasa ini. Jadi saya gabungkan dua idea ini maka terhasilnya filem Waruga.

“Filem ini menceritakan tentang ilmu hitam serta pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang telah mati. Saya memilih tajuk Waruga ini sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa," katanya.

Romi berkata, beberapa babak yang dipaparkan dalam filem itu tidaklah dipaparkan dengan terlalu extreme kerana terikat garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem demi menjaga sensitivity masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa ia tidak menjejaskan jalan cerita dan babak-babak yang dirasakan tidak sesuai itu telah diringankan agar sesuai untuk ditonton dan Filem Waruga berjaya mendapat P13.

Sementara itu, ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan filem Waruga, Romi mendedahkan pelbagai perkara yang terpaksa dilalui dengan beberapa kejadian pelik yang menimpa pelakon dan kru penggambaran.

“Boleh dikatakan bermacam-macam kejadian yang terpaksa kami tempuh. Antaranya, salah seorang stuntman yang terjatuh dari siling ke lantai bilik setelah seakan ditolak oleh sesuatu dan menyebabkan tulang bahagian pangkal peha patah.

“Begitu juga kejadian yang dilalui dua pelakon utama iaitu Zahiril dan Elvina yang turut ternampak ‘benda’ menyeramkan di depan mata. Apapun saya lega apabila penggambaran dapat diteruskan sehinggalah siap,” ujarnya.

BERITA TRENDING: Hot Mummy! Netizen Puji Foto ‘Maternity’ Elvina Mohamad - “Dia Mengandung Cantik Betul… Aku Dah Rupa Mak…

Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 FEBRUARI 2024, Waruga menampilkan barisan pelakon popular seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.

PILIHAN PEMBACA: “Sepatutnya Saya Juga Ikut Konvoi Itu” - Zahiril Syukur Beto Kusyairy Dalam Keadaan Baik