Pengarah terkenal Aziz M. Osman mencuri perhatian netizen apabila tampil dengan idea untuk menaik taraf filem arahannya iaitu Leftenan Adnan ke dalam versi definisi tinggi (HD).

Menerusi laman sosial Twitter, Aziz berkongsi perkara itu menerusi satu kicauan. Lebih istimewa apabila filem patriotik itu turut menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada tahun 2020.

“Tahun 2020 adalah ulangtahun filem Leftenan Adnan yang ke-20. Siapa setuju saya naik taraf filem ini ke Ultra HD untuk penonton sekarang?” tulis Aziz menerusi kicauannya.



Filem Leftenan Adnan merupakan filem biopik yang diadaptasi daripada kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang terjadi semasa Perang Dunia Kedua.

Filem ini membariskan pelakon hebat tanahair seperti Hairie Othman, Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

Cadangan Aziz tersebut nampaknya disambut baik oleh wargamaya yang rata-ratanya bersetuju penaik taraf filem ini kepada versi HD.

Malah, ada juga wargamaya yang mengucapkan penghargaan kepada Aziz kerana mengangkat jasa perwira negara ke layar perak untuk dikenang oleh semua rakyat Malaysia.

Kicauan Aziz itu sehingga kini telah menerima hampir 7,000 ulang kicau dan 8,000 tanda suka daripada warga Twitter.