SUKAN
Final Unifi Piala Malaysia: JDT Bergelar Juara Tiga Kali Berturut-Turut
Johan 11 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), menyapu bersih semua gelaran domestik untuk dua musim tanpa henti apabila dinobatkan juara Unifi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.
Juara Piala Malaysia
Untuk rekod, ini adalah final kelima berturut-turut Harimau Selatan dalam kejohanan paling berprestij itu.Lebih menarik, JDT berjaya menyamai pencapaian Selangor (1995-1997) dan Kuala Lumpur (1987-1989) dengan melakar hatrik kejuaraan Piala Malaysia dari 2022-2024/2025.
Tok Gajah gagal mengulangi pencapaian 2014 dan JDT berhasil membalas dendam atas kekalahan dahulu.
Seperti sedia maklum, kehilangan bintang, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo akibat penggantungan tidak menguntungkan kem Sri Pahang.
T. Saravanan terlebih dahulu meletakkan skuad kendalian Fandi Ahmad di hadapan menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, untuk kedudukan 1-0 melewati separuh masa pertama.
Namun, Sri Pahang terpaksa melupakan khidmat pemain Harimau Malaya, Sergio Aguero, apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-34, membuatkan persembahan skuad berjersi kuning itu terencat dan harus menutup segala ruang.
Memasuki babak kedua, juara Piala FA itu mengatur pelbagai serangan demi membutirkan hasil.
Dan Pemain Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25, Bergson Da Silva, akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas pertahanan, Azrif Nazrulhaq Badrul Hisham, mengasari Oscar Arribas.
Berselang 10 minit kemudian, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali, tidak terburu-buru melayangkan kad merah kedua permainan tatkala terjahan keras pemain import, Park Jun-heong, mengakibatkan kecederaan kepada tonggak Sri Pahang.
Sekaligus menyaksikan aksi kembali seimbang dengan 10 lawan 10.
Secara kasar, JDT banyak melepaskan peluang dan tersasar untuk mencari gol seterusnya.
Di sebalik usaha keras itu, Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi, menjadi wira JDT dengan rembatannya di sudut kanan menembusi gawang Zarif Irfan Hashimuddin untuk kedudukan 2-1.
Asakan demi asakan cuba dihasilkan kedua-dua pasukan, namun kebuntuan menyelubungi serangan. Tamat permainan, JDT sekali lagi diangkat sebagai juara.Sumber: Stadium Astro
Must-Watch Video