GAYA HIDUP
#FinancialFaiz: Nak Pinjaman Mudah? Fahami Peranan CTOS & CCRIS dalam Kewangan
Pendidik kewangan, Faiz Azmi, menekankan kepentingan membina kredit skor yang baik bagi memudahkan akses kepada pinjaman pada masa hadapan.
Menurutnya, sistem kewangan pada hari ini menjadikan rekod hutang sebagai ukuran untuk menilai kelayakan seseorang dalam mendapatkan pembiayaan baharu.
“Bayangkanlah satu ekonomi di mana anda perlu berhutang untuk mendapatkan hutang yang lebih baik – itulah yang menjadi ukuran dalam CTOS.
“Bila bank ingin memberikan pinjaman baharu, mereka akan merujuk rekod anda dalam CTOS dan CCRIS. Jika anda baru sahaja tamat pengajian dan tidak mempunyai sebarang rekod hutang tetapi mahu membeli rumah atau kereta, anda mungkin menghadapi kesukaran kerana bank tiada data mengenai sejarah pembayaran balik anda,”jelasnya.
Faiz atau Financial Faiz turut menjelaskan bahawa tanpa rekod kredit, margin pembiayaan seseorang boleh terjejas, seterusnya menyebabkan mereka perlu menyediakan deposit yang lebih tinggi.
“Jika anda tiada rekod kredit, bagaimana bank mahu menilai kebolehan anda membayar balik hutang? Contohnya, jika anda ingin membeli rumah bernilai RM500,000, pihak bank mungkin hanya meluluskan 80% pembiayaan berbanding 90% yang biasa diberikan.
“Ini bermakna, daripada hanya perlu menyediakan deposit RM50,000 (10%), anda mungkin perlu membayar RM100,000 (20%). Kebanyakan orang tidak mempunyai simpanan sebanyak itu – sebab itulah penting untuk menjaga kredit skor,” katanya.
Kad Kredit Sebagai Alat Meningkatkan Kredit Skor
Menurut Faiz, antara cara paling mudah untuk membina dan meningkatkan kredit skor adalah dengan menggunakan kad kredit secara bijak.
“CTOS melihat bagaimana anda membayar hutang anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai kad kredit, sama ada anda menggunakannya atau tidak adalah terpulang kepada anda.
“Tetapi jika anda menggunakan RM8,000 dan membayarnya semula sepenuhnya pada bulan berikutnya, CTOS akan menyukai corak pembayaran ini.
“Jika anda ingin meningkatkan kredit skor, memiliki kad kredit adalah langkah paling mudah kerana ia tidak melibatkan bayaran ansuran tetap seperti pinjaman kereta atau pinjaman peribadi yang tidak perlu. Ambil kad kredit dan gunakan bila perlu,” tambahnya.
Kesimpulannya, membina rekod kredit yang baik adalah penting untuk memudahkan urusan pinjaman pada masa hadapan.
Dengan pengurusan kewangan yang bijak dan disiplin dalam pembayaran balik, seseorang boleh memastikan kredit skor mereka sentiasa berada pada tahap yang baik.
Must-Watch Video