Terkini

#FinancialFaiz: Pusat Zakat Malaysia Membantu Mereka yang Memerlukan, Termasuk Golongan Gharimin

gempak
Asyraf Roslan
28/12/2024
11:55 MYT
Sponsor Banner
#FinancialFaiz: Pusat Zakat Malaysia Membantu Mereka yang Memerlukan, Termasuk Golongan Gharimin
Pendidik Kewangan, Faiz Azmi menyatakan bahawa pusat-pusat zakat di Malaysia sentiasa mencari golongan yang layak menerima bantuan.
Namun masih ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan zakat tersebut sekiranya mempunyai masalah kewangan, kurang pendapatan dan berhutang.
“Kalau anda betul-betul memerlukan, pendapatan rendah tetapi anda berhutang, sebenarnya anda boleh mendapatkan bantuan zakat.
"Dalam situasi ini anda dinamakan sebagai asnaf gharimin yang membawa maksud anda betul-betul miskin tetapi berhutang,” katanya.
Untuk pengetahuan anda Gharimin ialah orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya atau kepentingan masyarakat dan tiada keupayaan untuk membayarnya.
Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:
  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.
Pada masa sama, Faiz atau lebih dikenali sebagai Financial Faiz juga berkata agak sukar untuk pusat zakat mencari mereka yang memerlukan kerana mereka tidak tampil untuk memohon bantuan.
"Pihak zakat akan mencari mereka yang memerlukan zakat, golongan asnaf semualah.
“Cuma ia agak sukar kerana ada golongan ini mereka tidak tampil untuk meminta bantuan.
“Jika anda mengenali sesiapa yang memerlukan bantuan minta mereka untuk pergi laporkan diri mereka ke pusat-pusat zakat untuk minta bantuan,” ujar Faiz.
Zakat adalah instrumen penting dalam membantu masyarakat Islam mengatasi kesulitan kewangan. Dengan tampil ke hadapan dan mendaftarkan diri, asnaf gharimin boleh mendapat bantuan yang diperlukan untuk memulakan kehidupan baharu.
Jangan biarkan rasa malu atau kurangnya maklumat menghalang anda daripada mendapatkan hak yang telah disediakan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi pusat zakat di kawasan anda atau layari laman web rasmi pusat zakat negeri.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024