Gaya Hidup

#FinancialFaiz: Simpan Duit Sekarang, Elak Anak Berhutang Untuk Pendidikan

gempak
Asyraf Roslan
09/02/2025
12:55 MYT
Sponsor Banner
#FinancialFaiz: Simpan Duit Sekarang, Elak Anak Berhutang Untuk Pendidikan
Pendidik kewangan, Faiz Azmi menasihatkan ibu bapa agar mula menabung untuk pendidikan anak-anak bagi mengelakkan mereka terbeban dengan hutang di kemudian hari.
Menurutnya, tabungan awal dapat membantu menampung kos pendidikan tinggi tanpa perlu bergantung kepada pinjaman. Beliau mencadangkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan terbaik kerana ia menawarkan pulangan dividen yang stabil dan risiko rendah.
"Nak simpan duit, start dari sekarang. Sebab kalau tak simpan duit dari sekarang, anak-anak kena pinjam duit untuk sambung belajar. Dan mereka mungkin akan membuat pinjaman daripada PTPTN," katanya.
Faiz menjelaskan bahawa dengan hanya menabung RM300 sebulan dalam SSPN dan mengambil kira dividen sekitar empat peratus setahun, ibu bapa boleh mengumpul kira-kira RM100,000 dalam tempoh 18 tahun. Jumlah ini mencukupi untuk menampung yuran pengajian dan perbelanjaan anak-anak tanpa mereka perlu berhutang.
"Maknanya, daripada anak-anak membuat pinjaman, lebih baik anda simpan duit dengan simpanan SSPN. Kalau kita buat kira-kira, anda buat simpanan sebanyak RM300 sebulan ditambah dengan dividen empat peratus untuk 18 tahun, anda akan dapat jumlah simpanan lebih kurang RM100,000. Dah cukup sangat untuk anak anda sambung belajar dan duit untuk perbelanjaan mereka. Jadi mereka tidak perlu berhutang lagi," jelasnya.
Faiz, yang lebih dikenali sebagai Financial Faiz, turut menekankan bahawa SSPN merupakan simpanan pendidikan yang selamat dan dijamin oleh kerajaan.
"Cuma nak diingatkan, simpanan SSPN ini fokusnya adalah untuk simpanan pelajaran, jadi risiko dia kenalah rendah. Tak naklah bila anak dah 18 tahun nak pakai duit, tengok-tengok dah tak ada ataupun kurang daripada apa yang anda sudah masukkan," katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa SSPN tidak pernah mencatatkan pulangan sifar atau tanpa dividen, menjadikannya pilihan yang lebih selamat berbanding instrumen simpanan lain.
"Untuk simpanan SSPN ini, kita tak pernah dengar lagi pulangan 0 peratus atau tiada dividen. Dan duit simpanan ini dijamin oleh kerajaan. Sekiranya terjadi apa-apa kepada PTPTN, duit simpanan SSPN itu akan kekal selamat," tambahnya.
Justeru, Faiz menyeru ibu bapa agar memulakan tabungan SSPN seawal mungkin demi memastikan masa depan pendidikan anak-anak lebih terjamin tanpa beban hutang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024