Pelakon Aedy Ashraf menerima pujian daripada pengarah Razaisyam Rashid apabila memberi lakonan cukup memberangsangkan dalam drama bersiri premium terbitan Astro Originals, Projek: Anchor SPM.

Menurut Razaisyam, Aedy antara pelakon muda yang mempunyai lakonan paling halus pernah dia bekerjasama.

“Tanyalah semua orang, tak ada siapa nafikan kemampuan dia. Malah, Syafiq Kyle sendiri cakap Aedy ni bagus.

“Ye lah pengalaman dia 20 tahun walaupun umur dia sekarang baru 27. Memang tak boleh nak compare.

“Kalau nak kata anak seni, Aedy adalah anak seni. Ibu dia pula pelakon hebat,” katanya.

Tambah Razaisyam, sesetengah pelakon apabila diberi watak, ia seakan-akan dibuat-buat.

“Tapi lainnya Aedy ni, dia akan menjadi karakter tersebut. Benda ni perlukan pengalaman dan dia gunakan pengalaman 20 tahun itu sebaik mungkin untuk Projek: Anchor SPM.

“Tak mustahil dia akan jadi pelakon terbaik di Malaysia. Memang bukan sekadar rupa,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Bagi anda yang ingin melihat sejauh mana kehebatan Aedy Ashraf dan pelakon lain dalam Projek: Anchor SPM, nantikan tayangannya di saluran Astro Citra setiap Isnin, jam 9.00 malam.

BACA: “Dia Punya Ending Fuhhh, Terbaik 10/10” - Projek: Anchor SPM Trending, Penonton Tak Sabar Tunggu Episod 2 Isnin Depan!

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.