Surrr! Tak perlu pening kepala nak hilangkan craving Nasi Kandar sampai perlu ke Pulang Pinang sebab kali ini Nasi Kandaq Fest bawa turun 10 lejen Nasi Kandar ke Kuala Lumpur.

Sempena dengan Nasi Kandaq Fest yang diadakan buat julung kalinya oleh FriedChillies bersama pakar selok-belok nasi kandar iaitu Nasi Kandaq Hunters dan Nasi Kandar Transporter, warga kota dijanji akan berpuas hati.

Nasi Kandaq Fest berlangsung selama dua hari sahaja iaitu 23 hingga 24 September (Sabtu & Ahad) di Sunway Putra Mall Kuala Lumpur.

Berikut merupakan senarai 10 lejen yang didatangkan sempena Nasi Kandaq Fest tahun ini:

1. Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro
2. Hameediyah Restaurant
3. Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed)
4. Restoran Kudu Bin Abdul
5. Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru
6. Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng
7. Sadam Nasi Kandar
8. Sithique Nasi Kandar
9. Nasi Kandaq Talam Johor Bahru
10. Yusuf Restaurant


Kata Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal, idea untuk menganjurkan festival ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu.

“Bertitik tolak daripada PKP lah kita mula menjalin kerjasama dengan Nasi Kandaq Transporter dan Nasi Kandaq Hunters yang ketika itu mengambil pesanan dan membawa makanan kegemaran rakyat Malaysia itu dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Dan selepas PKP berakhir, kami mula mengadakan perbincangan dengan lebih serius untuk membawa terus vendor-vendor terbaik nasi kandar ke Kuala Lumpur dan himpunkan mereka di Sunway Putra Mall, hari ini.

“Kami juga berbesar hati kerana pihak Sunway Putra Mall mempelawa kami untuk menjalin kerjasama dan merealisasikan acara Nasi Kandaq Fest ini,” katanya.


Zon kenduri nasi kandar

Sementara itu, Ketua Pemasaran, Sunway Putra Mall, Tan Ai Vee berkata, untuk memastikan orang ramai lebih selesa, pihak mereka telah mentransformasikan ruang legar di tingkat bawah kepada ‘zon kenduri’.

“Zon kenduri ini lebih selesa dan berada di dalam mall. Orang ramai boleh membeli nasi kandar dan kemudian menikmatinya di zon kenduri kami dengan lebih selesa,” katanya.

Sasaran lebih 10,000 pengunjung

Salah seorang Pengasas Nasi Kandaq Hunters (NKH) Badrol Izam pula berkata, mereka meletak sasaran 10,000-12,000 pengunjung ke acara tersebut.

“NKH amat berbesar hati kerana acara unik ini memberi peluang kepada orang ramai terutama di Lembah Klang untuk menikmati air tangan dari tokoh-tokoh nasi kandar yang tersohor dari tempat-tempat original di Malaysia.

“Kami memang tak sabar untuk mereka menghayati pelbagai rasa kari dan lauk nasi kandar sebab memang semua lejen yang kami himpun di sini, ada kelebihan mereka yang tersendiri. Semua akan berada di bawah satu bumbung, bila lagi geng?”, katanya teruja.

Justeru itu, Mohd Adly berkata, FriedChillies merancang untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2.0 sekiranya, acara sulung ini mendapat sambutan ramai.

“Kami memang sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2.0 dan mungkin akan dijadikan acara tahunan, sekiranya program yang kami bawakan hari ini mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Antara yang kami rancang ialah, membawa lebih ramai vendor popular nasi kandar ke Kuala Lumpur selain mencari venue yang lebih besar,” katanya teruja.



Jadi, jangan lepaskan peluang berkunjung ke Nasi Kandaq Fest di Sunway Putra Mall kerana anda berpeluang memperolehi baucar tunai dan diskaun dari Sunway Putra Mall untuk minuman, pencuci mulut dan banyak lagi barangan lain, sepanjang dua hari acara berlangsung.