Jumlah kes baharu Covid-19 menurun kepada 4,922 kes hari ini berbanding 5,713 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,497,265 kes.

Katanya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

Dalam perkembangan lain negeri Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi negeri terbabit.

Menurutnya, negeri terbabit iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang sebelum ini di Fasa 3 akan beralih ke Fasa 4 bermula Isnin ini.