Game On! Itu adalah ‘tagline’ terbaru bagi program nyanyian yang mencungkil bakat kanak-kanak, Cerita Popstar Xtra!

Apa yang menarik bagi edisi kali ini adalah Ceria Popstar Xtra bakal menyajikan penonton serta peminat menjadi lebih teruja menerusi elemen-elemen baharu yang akan diketengahkan berbanding format sebelumnya.

Berkonsepkan ‘gaming’, Ceria Popstar Xtra akan menampilkan seramai 10 orang peserta yang telah dipilih menerusi ujibakat tertutup yang diadakan di Hotel Tentera, Bangi pada Mac yang lalu.

Semua peserta yang disenarai pendek adalah penyanyi solo yang akan dilatih oleh barisan tenaga pengajar yang berpengalaman dari segi vokal, tarian dan seni persembahan.

Menurut Ketua Kandungan Kanak-Kanak, Farah Fauzana Zainul Kamar menyatakan sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab saluran Astro Ceria untuk menghiburkan penonton.

“Astro Ceria dikenali sebagai saluran yang menengahkan rancangan keluarga , jadi tidak salah untuk kita kembalikan rancangan ini semula dan mencari bakat-bakat baru sebagai pelapis didalam industri ini.

“Sememangnya kesemua perserta ini mempunyai bakat dan abiliti untuk bertanding dalam rancangan ini” ujarnya.

Selain itu, Ceria Popstar Xtra turut membawa semula bakat-bakat yang diuji untuk ‘Ceria Popstar 2021’ yang terpaksa dihentikan produksinya akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan Gempak apabila salah seorang peserta kali ini merupakan anak kepada penyanyi lagenda pop negara iaitu Dato Jamal Abdillah, Zaki Yamani yang turut serta dalam pertandingan ini.

Selain Zaki, sembilan lagi peserta lain yang hadir dari pelbagai latar belakang iaitu Dilla, Amani, Ariff, Adik Marsha, Dhiya, Iqmal, Damia, Faleeq dan Dinda Dania bakal mempetaruhkan bakat mereka.

Pengacara tersohor malaysia Nabil Ahmad akan digandingkan bersama Elly Mazlien untuk bertindak sebagai pengacara pertandingan ini. Sementara itu penyanyi dangdut Malaysia , Mas Idayu dan pelawak Johan akan menggalas tugas berat menjurikan para peserta.

Ceria Popstar Xtra akan mula bersiaran pada setiap Rabu mulai 29 Jun 2022, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box applikasi Astro Go.