Selebriti Ririe Fairus akhirnya membuka mulut mengenai rumah tangganya dengan Ayus Sabyan yang hancur pada tahun lalu.

Ketika itu, nama penyanyi Nissa Sabyan dipetik sebagai perampas dan menjadi penyebab kepada keberantakan masjid milik Ririe dan Ayus.

Menerusi wawancara bersama Maia Estianty di saluran YouTube Maia Al El Dul TV, ibu kepada dua anak itu mengakui bahawa bekas suaminya itu pernah berlaku curang.

Kongsi Ririe, sehingga kini, dia tidak mampu melupakan momen apabila dia mendapat tahu bahawa suaminya selingkuh dengan sahabat sendiri. Sehinggakan, dia tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan.

“Selepas tahu (perselingkuhan), saya tidak memberitahu orang tua. Beberapa bulan kemudian barulah orang tua tahu sendiri.

“Jadi selama enam hari saya turun enam kilogram, tak makan apa-apa. Benar-benar tiada selera,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ririe sempat mengenang nasib mengapakah rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang akhirnya dilanda musibah.

“Kalau nak kata marah, ya, manusia kan, kerana saya tidak pernah rasakan hal seperti itu sebelum ini. Jadi (sempat bertanya kepada Tuhan) kenapa harus saya?,” ujar Ririe lagi.

Dalam keadaan dirinya yang tidak terurus, Ririe terus bingung dan bertanya kepada dirinya sendiri sama ada mampu untuk melanjutkan hidup selepas bekas suami main kayu tiga di belakangnya.

“Terus saya perlu buat apa? Bingung sendiri. Apa yang harus saya lakukan pada masa akan datang, saya seperti berasa yang saya telah tidak mempunyai kehidupan,” ujarnya lagi.

Meskipun telah berpisah, Ririe dan Ayus masih bekerja sama mendidik anak-anak mereka, Sabian Ibni Sakhy dan Sabian Ben Zidane. Ririe menjelaskan, biasanya dalam satu minggu, Ayus akan mengajak anak-anak untuk bertemu.



***GEMPAK MOST WANTED datang lagi. Jangan lupa undi artis kesayangan anda dengan klik pada banner atau link ini.